Elak langgar kereta, lori air batu bertembung dengan Kancil - Utusan Malaysia

Elak langgar kereta, lori air batu bertembung dengan Kancil

ANGGOTA bomba mengeluarkan Mohd. Maznizam dari dalam kereta Perodua Kancil yang bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 58.5, Jalan Batu Pahat-Mersing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Gara-gara mengelak daripada melanggar sebuah kereta, sebuah lori membawa air batu terbabas lalu melanggar tiang elektrik dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta Perodua Kancil. 

Akibatnya, pemandu kereta Perodua Kancil maut, manakala pemandu lori patah kaki kiri serta mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dalam kejadian di Kilometer 58.5, Jalan Batu Pahat-Mersing, kira-kira pukul 3 petang tadi ketika hujan lebat. 

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, ketika kejadian pemandu lori, Mohamad Amirul Rameli, 27, datang dari arah bandar Kluang, manakala Mohd. Maznizam Mohd. Amin, 51, menaiki Perodua Kancil dari arah bertentangan.

“Mohd. Maznizam mengalami kecederaan dalaman badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan yang datang  selepas menerima panggilan memaklumkan kemalangan tersebut.

“Mohamad Amirul yang mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan serta patah kaki kiri diberikan rawatan awal oleh pasukan paramedik Balai Bomba dan Penyelamat Kluang sebelum kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Fauzi Mohd. Nor berkata, lapan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke tempat kejadian.

“Pemandu kereta tersebut tersepit di tempat duduk pemandu dan pihak bomba mengeluarkannya menggunakan peralatan khas sebelum disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Pemandu lori pula diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital dan operasi tamat pada pukul 3.34 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN