Eddie Wings tetap beraksi sehari selepas pemergian isteri

Eddie Wings tetap beraksi sehari selepas pemergian isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Diuji dengan kehilangan insan tersayang sehari sebelum menjayakan persembahan di pentas Nusafest, Bandar Malaysia, Sungai Besi di sini, semalam, ternyata merupakan satu bebanan berat yang perlu dipikul.

Namun, menyedari tanggungjawab sebagai pemuzik dan komitmen yang perlu dilunaskan, pemain gitar bass kumpulan Wings, Eddie tetap menemui kekuatan untuk beraksi bersama rakan sekumpulan.

“Saya main dengan Wings sudah lama. Apapun masalah yang timbul di luar, jangan sesekali dimasuk campur dengan urusan kerja.

“Kita sudah bagi komitmen dan kawan-kawan pun bagi sokongan sejak urusan di hospital sehingga urusan arwah isteri saya dikebumikan. Semua ada bersama dan itu yang menyebabkan saya lebih bertambah kuat,” katanya selepas menjayakan persembahan bersama Wings, semalam.

Eddie atau nama lengkapnya Samsaidi Ulong Idris, berkata, dia reda dengan segala ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dan bersedia menghadapi dugaan kehilangan isteri tercinta.

Walaupun kelihatan tenang di atas pentas, namun Eddie berkata, dia sebenarnya hampir hilang fokus ketika Datuk Awie mengumumkan Harapan sebagai sebuah lagu yang ditujukan khas buat arwah isteri.

“Masa lagu Harapan saya tak boleh nak tahan dah (sebak). Persembahan tetap diteruskan dan Alhamdulillah dapat fokus sampai habis.

“Arwah tahu persiapan untuk konsert ini. Selama dua minggu saya dan Bila (anak perempuan) bergilir-gilir menjaga arwah di hospital. Saya akan datang melawat pada waktu tengah hari, Bila pula sebelah petang dan malam dia terus datang praktis di studio,” katanya.

Ditebak pesanan terakhir arwah pada dirinya, Eddie ternyata begitu sebak dan gagal mengeluarkan sebarang kata-kata.

Sementara itu, vokalis Wings, Awie berkata, dia terharu dengan semangat kental yang ditonjolkan Eddie yang berusaha menyelesaikan tanggungjawab sebagai penghibur dan pemuzik.

Katanya, dia dan rakan-rakan lain tidak pernah memaksa Eddie untuk beraksi kerana bimbang aspek kesihatan dan emosinya boleh terganggu.

“Sebenarnya kami sudah tanya pada Eddie, kalau tak bersedia kami akan cuba cari pengganti. Namun dengan semangat yang ada, Eddie tetap gagah dan kuat menyelesaikan tanggungjawabnya.

“Ini adalah satu semangat juang yang bagus. Perjanjian pun sudah termaktub. Alhamudillah dengan kekuatan dan semangat setiakawan, kami dalam Wings sudah seperti ahli keluarga, lebih akrab daripada adik-beradik sendiri,” katanya.

Jumaat lalu, isteri Eddie, Norlela Mohd. Yusof, 61, meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang di Hospital Ampang, kira-kira pukul 2.30 petang.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang, pada pukul 8.30 malam, hari sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya