Dua wanita didakwa tipu pelaburan ujian Covid-19 - Utusan Malaysia

Dua wanita didakwa tipu pelaburan ujian Covid-19

DUA wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan memperdayakan seorang lelaki untuk menyertai satu pelaburan ujian Covid-19 sehingga mangsa mengalami kerugian sebanyak RM337,000, dua tahun lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua orang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan memperdayakan seorang lelaki untuk menyertai satu pelaburan ujian Covid-19 sehingga mangsa mengalami kerugian sebanyak RM337,000, dua tahun lalu. 

Kedua-dua tertuduh iaitu seorang kerani, Pang Mui Fong, 49 dan suri rumah Chua Fui Lee, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Syed Farid Syed Ali.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama telah didapati dengan curangnya menipu seorang lelaki berusia 50 tahun dengan memperdayakan mangsa untuk menyertai pelaburan ujian Covid-19. 

Tertuduh mendorong mangsa untuk membuat 17 transaksi pembayaran berjumlah RM337,000 bagi urusan itu yang mana lelaki itu tidak akan menyerahkan wang sekiranya tidak diperdayakan kedua-dua tertuduh. 

Kesalahan itu dilakukan di Bandar Seremban, di sini dari 17 Disember 2021 sehingga 20 April 2022. 

Sehubungan itu, tertuduh bersama-sama telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. 

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta denda. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, M.Pusspa mencadangkan kepada mahkamah supaya setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000. 

Peguam, Kevin Mahendran yang mewakili kedua-dua tertuduh kemudian memohon jumlah jaminan yang paling minimum mengambil kira latar belakang dua anak guamnya. 

“Tertuduh pertama, Mui Fong hanya bekerja sebagai kerani akaun manakala tertuduh kedua, Fui Lee, adalah pesakit barah kerongkong dan hidung tahap empat yang kini masih lagi menjalani rawatan,” katanya. 

Mahkamah kemudiannya membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

Kes akan disebut semula pada 24 Ogos depan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya