SEREMBAN: Dua maut manakala tiga lagi cedera parah dalam nahas melibatkan sebuah bas dan sebuah kereta di Kilometer 285.5 Lebuhraya Utara Selatan (Arah Utara), di sini pagi ini.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Pegawai Kanan Bomba II, Shahrudin Mohd. Din berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 5 pagi tadi.
“Kemalangan membabitkan sebuah bas dan sebuah kereta Proton Wira. Terdapat 22 orang mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Nilai yang juga komander operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Bakarya Mohd. Salleh berkata, dua yang maut berkenaan merupakan seorang lelaki yang merupakan pemandu bas dan penumpang yang merupakan seorang wanita warga Indonesia.
“Seorang lelaki dan seorang wanita yang berada di dalam kereta juga selamat. Mangsa yang lain tidak dapat dikenal pasti dan telah dibawa ke hospital,” katanya.
Sementara itu, menurut akaun Twitter @plustrafik, kemalangan tersebut telah menyebabkan trafik sesak sepanjang enam kilometer ekoran lorong kiri dan tengah terhalang.
Laporan lanjut menyusul.-UTUSAN.