PASIR MAS: Polis menahan dua lelaki dan merampas lima kilogram (kg) ketulan mampat dipercayai ganja dalam serbun di kawasan pangkalan haram Kaloi, Gelang Mas di sini semalam.
Kedua-dua lelaki yang berusia lingkungan 30 dan 50-an itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik semasa melakukan Op Tapis Khas di kawasan Meranti pada pukul 4.30 petang.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, bagaimanapun salah seorang suspek yang ditahan itu merupakan warganegara Thailand.
Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dilakukan membawa kepada penemuan ganja seberat lima kg yang dianggarkan bernilai RM15,500.
“Hasil semakan yang dilakukan mendapati salah seorang suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkait dengan dadah.
“Saringan air kencing turut mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kama Azural memberitahu, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Pasir Mas hari ini untuk mendapatkan perintah reman bagi melengkapkan siasatan.
Dalam perkembangan lain, Kama Azural berkata, pihaknya berjaya menahan empat lelaki dalam serbuan di kawasan semak berhampiran sawah padi di Kampung Slow Machang di sini kelmarin.
Katanya, serbuan pukul 7 malam itu membawa kepada rampasan 60 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM6,600.
“Kesemua suspek yang ditahan itu masing-masing berusia antara 20 hingga 50 tahun. Saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah dan direman selama tujuh hari bermula semalam,” ujarnya.-UTUSAN