PETALING JAYA: Pas membuat laporan polis selepas dinding kaca salah sebuah pejabat parti itu di Kuala Lumpur dipecah.
Penolong Setiausaha Agung Pas, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, kejadian tersebut berlaku pada awal pagi sebelum penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini.
“Berlaku insiden di Pejabat Agung Pas di Jalan Raja Laut. Alhamdulillah tiada kemalangan jiwa. Laporan polis sudah dibuat dan pegawai penyiasat sedang menjalankan tugas mereka. Kita doa agar urusan siasatan oleh pihak berkuasa berjalan lancar.
“Ada rakaman CCTV dan ada saksi. Mudah-mudahan kes akan dapat diselesaikan segera,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Untuk rekod, penamaan calon PRN di enam buah negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan berlangsung hari ini, hari mengundi pula ditetapkan pada 12 Ogos ini.- UTUSAN