Didenda RM18,000, penalti lebih RM2.43 juta gagal kemuka borang cukai - Utusan Malaysia

Didenda RM18,000, penalti lebih RM2.43 juta gagal kemuka borang cukai

WONG SIEW LIAN didenda RM18,000 dan penalti khas lebih RM2.43 juta oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru selepas mengaku bersalah gagal mengemukakan penyata pendapatan syarikat kepada LHDN selama dua tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengarah sebuah syarikat kitar semula didenda RM18,000 dan dikenakan penalti khas lebih RM2.43 juta kerana gagal mengemukakan penyata pendapatan syarikat selama dua tahun di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Wong Siew Lian, 49, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nurzihan Abdul Rehman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pengarah syarikat Gagasan Steel (Southern Region) Sdn. Bhd., itu didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan dalam Borang C bagi tahun taksiran 2021 dan 2022 yang mempunyai pendapatan bercukai bagi dua tahun berkenaan sebanyak RM3,385,325 yang boleh dikenakan cukai sebanyak RM812,478.

Sebagai pengarah syarikat, Siew Lian dikehendaki mengemukakan penyata pendapatan syarikat itu kepada Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam tempoh tujuh bulan dari tarikh penutupan akaun.

Dia didakwa di bawah Seksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya dan penalti khas tiga kali ganda jumlah cukai yang dikenakan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Peguam Kanan Hasil LHDN, Norhidayah Yasin, manakala wanita itu tidak diwakili peguam bela.

Norhidayah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dan mengambil kira kepentingan awam.

“Walaupun memberitahu sudah membayar cukai sebanyak RM60,000 untuk dua tahun taksiran itu, namun ia masih jumlah yang kecil berbanding amaun cukai yang sepatutnya dikenakan. Hasil kerajaan juga adalah daripada kutipan cukai dan ini tidak adil kepada pembayar cukai yang lain,” katanya.

Dalam rayuannya, Siew Lian memohon jumlah denda yang rendah atas alasan mempunyai tanggungan lima orang anak yang masih bersekolah selain menjaga ibu dan ibu mentua yang sakit.

“Saya sentiasa beri kerjasama kepada LHDN sepanjang siasatan dijalankan dan saya juga sudah membuat bayaran RM60,000 untuk 2021 dan RM60,000 untuk 2022,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM18,000 dan dikenakan penalti khas lebih RM2.43 juta.

 Siew Lian turut diperintahkan dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda dan penalti khas itu yang perlu dijelaskan secara ansuran selama 12 bulan kepada LHDN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya