KUALA LUMPUR: Seorang pesert aktiviti duit kutu bergelar Datuk mendakwa menjadi mangsa fitnah menganjurkan pelaburan haram oleh peserta-peserta lain selepas ‘ibu kutu’ menghilangkan diri.
Peguam mewakili mangsa, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, anak guamnya menjadi sasaran kerana dia yang mengesyorkan aktiviti kutu tersebut kepada individu-individu lain.
‘Peserta-peserta lain menyerang anak guam saya dengan menimbulkan pelbagai dakwaan dan fitnah di media sosial selepas ‘ibu kutu’ lari sehingga menjejaskan reputasi anak guam, keluarga dan syarikatnya.
“Perkara ini berlaku sebab anak guam saya yang mengesyorkan kepada 10 hingga 15 individu lain untuk bermain kutu. Mereka bermain kutu sejak 2019 dengan pembayaran RM20,000 setiap bulan,” kata beliau pada sidang media di Solaris Dutamas (Publika), di sini hari ini
Bagaimanapun, menurut beliau, sejak enam bulan lalu `ibu kutu’ menghilangkan diri.
Kata Baljit, hubungan anak guamnya dengan ‘ibu kutu’ adalah kawan sejak kecil manakala beberapa peserta juga kawan-kawan kepada anak guamnya.
HILANG
“Sejak ibu kutu hilang, mereka cuba putar belit fakta di media sosial sedangkan anak guam saya juga salah seorang mangsa,” katanya.
Baljit berkata, peserta-peserta kutu lain turut membuat laporan polis palsu dengan mendakwa anak guamnya mengajak mereka menyertai satu pelaburan tetapi tidak ada bukti yang menyatakan perkara tersebut.
“Mereka sebar di media sosial yang menyatakan pihak polis menerima rasuah tidak ambil tindakan, kalau itu betul takkan anak guam saya nak buat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Jadi kami mahu polis siasat secara mendalam, ambil tindakan kerana membuat laporan palsu. Pihak kami juga sudah buat laporan iaitu sebanyak tiga kali di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul,” katanya.
Sementara itu mangsa, Datuk Murugan Supparamaniam mendedahkan beliau cuba menghubungi dan mencari ‘ibu kutu’ yang menghilangkan diri.
“Kali terakhir beliau WhatsApp mengatakan dia risau untuk duduk di Kuala Lumpur, jadi dia keluar dari sini. Saya pun tidak dapat kesan di mana dia.
“Dia mengaku ‘ibu kutu’ dan tak mampu bayar (duit peserta). Jadi dia takut lalu terus menghilangkan diri,” jelasnya.- UTUSAN