Dari sawah padi ke samudera biru

Dari sawah padi ke samudera biru

UMAIR Mohammad Bukhari dinobatkan sebagai Kadet Keseluruhan Terbaik 2023 pada Majlis Konvokesyen ALAM 2020-2023 di ALAM, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Pengorbanan seorang anak menolak tawaran kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah berasrama penuh (SBP) semata-mata ingin berbakti kepada keluarga dirasakan terbalas, apabila Umair Mohammad Bukhari dinobatkan sebagai Kadet Keseluruhan Terbaik 2023 pada Majlis Konvokesyen Akademi Laut Malaysia (ALAM) 2020-2023 di sini, hari ini.

Umair yang berjaya menamatkan pengajian peringkat Diploma Pengajian Nautika di institusi berkenaan bakal bergelar pegawai dek di kapal milik Eaglestar dalam masa terdekat.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, anak kelahiran Rantau Panjang, Kedah itu berkata, dia menolak tawaran ke MRSM dan SBP selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) kerana ingin membantu keluarga mengusahakan sawah padi.

Ujarnya, pemilihan bidang maritim dan ALAM sebagai laluan kerjaya selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan keputusan tepat dibuat dalam hidupnya.

“Selepas SPM memang banyak peluang ditawarkan antaranya pengajian di peringkat asasi, tetapi saya memilih ALAM kerana faktor kerjaya itu sudah terjamin. Di sini kami diasuh dengan akademik dan disiplin selaras dengan keperluan kerjaya di lautan.

“Saya bukan daripada keluarga berada. Bapa, Mohammad Bukhari Saud hanya bekerja sebagai mekanik kenderaan manakala ibu, Fadzilah Abdul Rahman pula suri rumah. Zaman sekolah saya buat macam-macam kerja sampingan antaranya mengusahakan bendang milik keluarga bersama abang.

“Oleh kerana ingin dekat dengan keluarga, saya tolak tawaran ke MRSM dan SBP. Hanya ke sekolah harian biasa bagi membolehkan saya lakukan kerja-kerja sampingan. Di ALAM saya tumpu kepada pembelajaran, kerana tidak mahu mensia-siakan harapan keluarga dan kepercayaan syarikat penaja,” katanya.

Pada majlis tersebut, seramai 769 graduan menerima skrol masing-masing yang disempurnakan Pengerusi MISC Berhad, Datuk Abu Huraira Abu Yazid.

Dalam pada itu, Kadet Keseluruhan Terbaik 2020-2023, Muhammad Thiabuddin Ariffin berkata, filem Titanic yang memaparkan sebahagian dari dunia maritim menjadi antara pemangkin buat dirinya terjun ke dalam bidang berkenaan.

MUHAMMAD THIABUDDIN Ariffin dinobatkan sebagai Kadet Keseluruhan Terbaik 2020-2023 pada Majlis Konvokesyen ALAM 2020-2023 di ALAM, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka. – UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD

Ujarnya, selain itu niat untuk mengubah taraf hidup keluarga juga membuatkannya nekad mencapai keputusan cemerlang sejak dari bangku sekolah demi melayakkan dirinya memasuki ALAM.

“Kejayaan itu bukan mudah untuk dicapai, ada kalanya kita akan patah semangat tetapi niat harus diperbetulkan. Bapa saya hanya bekerja sebagai pemandu pelancong, sebagai anak lelaki tunggal dalam keluarga maka menjadi tanggungjawab saya untuk mengubah hidup kami ke peringkat lebih baik,” katanya yang berasal dari Jerantut, Pahang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya