Dakwa pemilik jadikan tanah pertanian tapak lupus sampah - Utusan Malaysia

Dakwa pemilik jadikan tanah pertanian tapak lupus sampah

MOHD. NOORAZAM OSMAN (kanan)menyertai operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan ke tapak pelupusan sampah di Banjaran Kempas, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menggesa pihak berwajib supaya mendakwa pihak tidak bertanggungjawab di mahkamah kerana menjadikan tanah pertanian di Kempas Banjaran, di sini sebagai tapak pelupusan sampah.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, tindakan perundangan itu perlu dilakukan pengajaran terhadap mereka yang berterusan melakukan kesalahan sama.

Menurutnya, perkara itu semakin menjadi-jadi, bukan sahaja berlaku di daerah ini malah berlaku di kawasan lain seperti di Gelang Patah yang memberikan impak negatif kepada penduduk dan alam sekitar.

“Antara agensi yang terlibat daripada segi penguatkuasaan adalah Pejabat Tanah yang boleh ambil tindakan mengikut Kanun Tanah Negara kerana menyalahgunakan tapak pertanian sebagai tapak pelupusan sampah. Tindakan itu boleh membawa kepada rampasan tanah oleh kerajaan negeri dan kalau nak elak, saya minta supaya pemilik tanah ini tidak lagi membuat perkara tersebut.

“Selain itu, pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) juga boleh mengambil tindakan mendakwa pemilik tanah di mahkamah kerana menjadikan kawasan mereka tempat pengumpulan barang Kitar semula serta tempat pembuangan sampah haram,” katanya salam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, di sini hari ini.

Ahad lalu, semasa operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan dijalankan, MBJB telah mengarahkan dua premis kitar semula menutup operasi kerana melaksanakan aktiviti pembinaan tanpa permit selain mengundang aduan daripada penduduk.

Tindakan itu diambil di bawah Undang-undang Kecil 49(2) Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MBJB 2016 selain mengeluarkan notis di bawah Seksyen 70(1) Akta Jalan Parit dan Bangunan 133 kerana mendirikan binaan tanpa kelulusan.

Difahamkan, pemilik tanah tersebut mengaut keuntungan dengan mengenakan caj sebanyak RM60 kepada lori kontraktor bagi setiap kali membuang sisa buangan dari kilang ke kawasan tersebut.

Mohd. Noorazam berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu menjadikan kawasan tersebut sebagai tempat sampah dan menutup kawasan tasik semula jadi yang ada di banjaran itu.  

“Oleh disebabkan mereka menerima sisa buangan industri, kita khuatiri terdapat juga sisa-sisa terjadual yang membawa impak sangat negatif kepada alam sekitar yang sepatutnya dilupuskan di kawasan yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar.

“Mereka ini memang ada barangan yang dikitar semula, tapi bagi barangan yang tidak boleh dikitar semula itu mereka akan buang ke tempat lain dan tindakan itu yang boleh undang bahaya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya