DaKOM 2030 dilancar hujung bulan ini - Utusan Malaysia

DaKOM 2030 dilancar hujung bulan ini

Pelancaran Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi (DigiKOP) disempurnakan Wan Rosdy Wan Ismail (empat dari kiri) di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan melancarkan Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030) penghujung bulan ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, DaKoM 2030 merupakan kesinambungan pelaksanaan Dasar Koperasi Negara 2011-2020.

Menurutnya, ia bakal memacu sektor koperasi sebagai pemangkin kepada pembangunan sosio ekonomi.

“Ia bermatlamat bagi mewujudkan ekosistem koperasi yang holistik dan kondusif serta melonjakkan keupayaan dan kemampuan sektor koperasi sebagai penyumbang utama sosio ekonomi negara.

“Kita jangkakan DaKoM 2030 ini akan dilancarkan sempena penutupan sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan 2023 (BKK’23) di Sabah hujung bulan ini. Pelancarannya bakal disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,” katanya dalam sidang akhbar di Majlis pelancaran Bulan Koperasi Kebangsaan 2023 yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini hari ini.

Pada majlis itu, KUSKOP turut melancarkan Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi (DigiKOP) 2030 bagi mengimplementasikan perniagaan berasaskan teknologi.

Dalam pada itu, Ewon berkata, pelan DigiKOP menggariskan inisiatif yang akan dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan koperasi dalam menjalankan perniagaan berasaskan teknologi.

Jelasnya, koperasi perlu beralih daripada menjalankan perniagaan secara konvensional kepada adaptasi teknologi dan digitalisasi dalam penawaran produk dan perkhidmatan.

“Melalui teknologi canggih dan sistem perniagaan secara digital, ia berupaya membawa perubahan dalam mentransformasikan gerakan koperasi, yang memberi manfaat kepada 7.3 juta ahli, melibatkan 15,315 koperasi di seluruh negara.

“Mudah-mudahan dengan adanya pelan ini lebih banyak koperasi akan kita bantu untuk mengadaptasikan teknologi dalam pengoperasian koperasi mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya