LANGKAWI: Pengusaha sukan air di pantai peranginan di sini terpaksa menangguhkan perkhidmatan buat sementara waktu susulan cuaca buruk melanda pulau ini sejak kelmarin.
Tinjauan Utusan Malaysia di Pantai Chenang, di sini mendapati lebih tiga pengusaha jet ski tidak beroperasi disebabkan laut bergelora.
Seorang pekerja perkhidmatan tersebut, Adi Sulaiman, 39, berkata, perkhidmatan jet ski belum dapat dibuka ekoran keadaan laut tidak mengizinkan.
“Sehingga tengah hari ini, keadaan belum sesuai, mungkin saya lihat dulu kalau cuaca dan ombak sudah reda saya akan benarkan pelanggan untuk menggunakan jet ski.
“Pada semalam (kelmarin) keadaan ombak terlalu berbahaya ditambah dengan hujan lebat sehingga semua pengusaha jet ski menutup perkhidmatan,” katanya di sini hari ini.
Seorang lagi pekerja sukan air, Ujang Ahmad, 43, memberitahu, ada beberapa pelanggannya yang telah keluar menaiki jet ski bagi lawatan ke pulau-pulau.
“Tetapi keadaan ombak di sini semakin kuat dan besar, kemungkinan mereka akan dilencongkan ke Jeti Teluk Baru selepas selesai lawatan.
“Risiko agak tinggi bagi pelanggan untuk meredah ombak, sedangkan ada daripada kalangan kami sendiri yang terbalik jet skinya kerana ombak terlalu kuat pada pagi tadi,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Langkawi, Ahmad Shahfikri Darus berkata, pihaknya telah menaikkan bendera amaran berwarna merah di sekitar pantai di sini.
“Bendera tersebut bersama papan tanda dilarang berenang akan dinaikkan sehingga cuaca kembali pulih.
“Orang ramai dinasihatkan untuk lebih peka dengan cuaca semasa bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir dan laut bergelora melanda pulau ini hingga Rabu ini.-UTUSAN