KUALA TERENGGANU : Semua calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) telah menjalani saringan kesihatan yang ditetapkan.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, ia adalah satu kriteria yang perlu diambil berat oleh semua parti yang bertanding agar calon yang dipilih mampu menggalas tanggungjawab dengan cemerlang sehingga habis penggal.
Menurutnya, saringan kesihatan adalah prosedur operasi standard (SOP) dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memastikan calon yang bertanding adalah layak dari aspek kesihatan.
“Untuk calon-calon dari parti lain, saya tidak pasti namun biasanya parti-parti akan melakukan sedemikian (calon menjalani saringan kesihatan).
“Kita perlu pastikan calon kita (PH dan BN) bukan sahaja berwibawa untuk bertanding kerana membawa harapan parti dan kerajaan perpaduan, malah mereka juga adalah orang yang boleh bertanding dari sudut kesihatan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Zaliha berkata, beliau turut menasihatkan orang ramai yang mempunyai gejala kesihatan supaya mengamalkan langkah pencegahan penyakit bagi mengelak sebarang jangkitan termasuk Covid-19 sepanjang tempoh berkempen dan pada hari pengundian 12 Ogos depan.
“Setakat ini, Kementerian Kesihatan (KKM) masih menggunakan garis panduan dan SOP sedia ada untuk PRN di enam negeri ini.
“Namun, jika ada keperluan baharu, kita akan adakan satu perjumpaan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk berbincang mengenai perkara itu,” katanya. – UTUSAN