JEMPOL: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir mengalamai kecederaan patah kaki kiri selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Pasir Besar-Palong, Tampin, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3 pagi, apabila nahas melibatkan sebuah kenderaan jenis Ford Ranger yang dipandu oleh Mohd. Zaidy.
Jelas beliau, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika Mohd. Zaidy dalam perjalanan ke Palong dari arah Bahau melalui Jalan Pasir Besar.
“Akibat kemalangan, beliau mengalami kecederaan patah kaki kiri dan penumpang pula mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Jempol untuk rawatan segera.
“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan punca kemalangan masih dalam siasatan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Negeri Sembilan yang juga Calon Pakatan Harapan (PH) di DUN Bahau, Teo Kok Seong berkata, keadaan Mohd. Zaidy ketika ini berada dalam keadaan stabil ketika beliau melawat bekas Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan itu bersama Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli di Hospital Jempol pagi tadi.
“Keadaan beliau stabil dan masih bersemangat tinggi semasa saya bertemu beliau. Beliau juga minta saya cuba sedaya upaya membantu memastikan kemenangan DUN Jeram Padang dan semua DUN yang ditandingi Kerajaan Perpaduan.
“Kita doakan beliau dan pemandu beliau yang kini sudah dipindahkan ke Hospital Kuala Pilah (Hospital Tuanku Ampuan Najihah) cepat sembuh,” katanya.-UTUSAN.