HULU LANGAT: Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Johan Abd. Aziz di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua menganggap isu calon selesai apabila beliau secara rasmi dicalonkan di DUN tersebut dan bukan calon daripada DAP.
Beliau berkata, isu pertikaian calon antara BN dengan Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP selesai dan keputusan tidak akan berubah sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) selesai 12 Ogos.
Menurut beliau, kesemua parti politik kerajaan telah bersepakat untuk meletakkan calon BN di Dusun Tua dan DAP akur berhubung perkara itu.
“Isu ini sama ada rakyat masih tidak terima, atau ini kawasan siapa, ia sudah selesai. Semuanya sudah duduk semeja, bersetuju malah sudah dibincang di peringkat parlimen dan bahagian-bahagian parti DAP, Amanah dan PKR,” kata beliau selepas selesai penamaan calon di Sekolah Agama Menengah Hulu Langat, Batu 10 di sini hari ini.
Pagi tadi Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Dusun Tua, Abdul Haizul Faisal Abdul Hamid memaklumkan, berlaku saingan tiga penjuru di DUN Dusun Tua.
DUA CALON
Selain Johan (calon nombor 1), dua calon lain Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Al Hafiz Ikhwan Mohamad Asaad (calon nombor 2) dan PN, Azhar Hambali (3). Proses penyerahan borang pencalonan berakhir pukul 10 pagi.
Sebelum Dusun Tua disandang Edry Faizal Eddy Yusof daripada DAP. Kerusi itu merangkumi 63 peratus pengundi Melayu, diikuti 28 peratus pengundi Cina, India (tujuh peratus) dan lain-lain (dua peratus).
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), kerusi itu pernah menjadi milik BN-UMNO (Ismail Sani), bagaimanapun beliau kemudian tewas kepada calon Pas, Razaly Hassan. Pada PRU14 2018, Razaly pula tewas kepada Edry Faizal dengan majoriti 10,422 undi.
Difahamkan, DUN Dusun Tua dalam Parlimen Hulu Langat menjadi pertikaian antara UMNO dan DAP. Bendahari DAP Selangor, Dr. Ong Kian Ming sebelum ini dilaporkan memberi amaran jika DUN itu diberi kepada UMNO tindakan itu boleh menyebabkan ketidakpuasan hati akar umbi DAP.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook kemudian mengakui sedikit terkilan apabila kerusi Dusun Tua yang disandang parti itu diserahkan kepada BN.
Pun begitu, sebagai pertukaran kerana menyerahkan kerusi itu, DAP mencadangkan supaya Yang Dipertua Negeri Selangor dilantik dalam kalangan bukan ADUN dan mencadangkan penyandang DUN Banting, Lau Weng San sebagai calonnya.- UTUSAN