Calon BN berwibawa diyakini boleh menang PRN enam negeri - Utusan Malaysia

Calon BN berwibawa diyakini boleh menang PRN enam negeri

WAN ROSDY Wan Ismail (tengah) ketika ditemui pemberita selepas perasmian Karnival Kita Madani peringkat negeri di pekan Dong di Raub, Pahang. - FOTO/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Barisan Nasional (BN) mengetengahkan calon berwibawa yang akan bertanding secara sihat di enam buah negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemilihan calon BN yang kebanyakannya orang muda dan muka baharu dengan harapan untuk memenangi kawasan dipertandingkan menerusi strategi berkempen secara sihat serta diterima oleh pengundi.

“Kita (BN) akan memberikan tentangan habis-habisan walaupun negeri berkenaan bukan di bawah BN dengan yakin kemenangan akan berpihak kepada calon UMNO.

“Calon yang diketengahkan merupakan ramai muka baharu, usia muda dan pelbagai latar belakang akademik dan profesional untuk mewakili masyarakat setempat dan berharap pengundi akan membuat pilihan tepat serta fikirkan dengan rasional bahawa (calon) ini layak mewakili mereka (pengundi),” katanya kepada pemberita selepas perasmian Karnival Kita Madani di pekan Dong di sini.

Ketika ditanya tentang serangan pihak lawan terhadap UMNO menjelang PRN di enam negeri, Wan Rosdy menjelaskan, hal ini berlaku kerana kekuatan akar umbi parti itu terutama gerak kerja digerakkan oleh UMNO peringkat negeri terlibat PRN berkenaan.

“Mereka (pihak lawan) tidak boleh duduk diam dan mula menyerang dengan isu yang tidak berasas terutama ditujukan kepada pemimpin UMNO dan kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Beliau berkata, misalnya penubuhan kerajaan Perpaduan masih lagi menjadi isu yang tidak selesai dan kerap dibangkitkan oleh pihak tertentu daripada parti lawan.

Tegas beliau, kerajaan Perpaduan ditubuhkan ini bukan hanya diwakili oleh UMNO bersama DAP sebaliknya ia direalisasikan kerana menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Jika kerajaan Perpaduan ini tidak ditubuhkan segera selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, sudah tentu rakyat rugi. Banyak dasar yang tidak dapat diluluskan serta perkara untuk membantu rakyat tidak dapat dilaksanakan sebab tidak ada kerajaan.

“Kita tidak mahu kerajaan ini digantung, Apabila tuanku bertitah, BN menyahut seruan (titah) itu. Melalui proses perundingan kita berhajat menubuhkan kerajaan Perpaduan,” katanya.

Wan Rosdy berkata, UMNO bersetuju bersama kerajaan Perpaduan dengan terma dan syarat tidak menggadaikan prinsip yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu agama Islam sebagai agama rasmi, institusi raja berperlembagaan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta hak-hak keistimewaan orang Melayu.

Katanya, mana-mana parti politik yang ingin bekerjasama, mereka juga perlu mematuhi syarat tersebut dan UMNO akan sentiasa memastikan empat prinsip tersebut terpelihara dalam kerajaan Perpaduan pada ketika ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya