Calon anak beranak: Bibi Sharliza anggap bukan isu besar - Utusan Malaysia

Calon anak beranak: Bibi Sharliza anggap bukan isu besar

BIBI Sharliza Mohd. Khalid ketika ditemui di Wisma UMNO Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pengumuman Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh dan anak bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad iaitu Mohd. Najib Mohd. Isa di DUN Bagan Pinang bukan menjadi sesuatu isu yang besar.

Bibi Sharliza yang juga isteri kepada Mohd. Isa berkata, isu calon anak beranak yang cuba dimainkan oleh pihak pembangkang itu bukanlah persoalan yang perlu diberikan tumpuan sebaliknya keutamaan diberikan bagi membawa kemenangan kepada BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah perkara utama.

Jelas beliau lagi, bukanlah perkara luar biasa apabila calon anak beranak diketengahkan sesebuah parti dalam pilihan raya.

“Kami bukanlah ketandusan pemimpin tetapi UMNO dan BN memilih calon yang terbaik. Saya rasa Mohd. Najib juga sudah tunggu selama tiga penggal dalam Pemuda UMNO dan sepatutnya pilihan raya yang lalu lagi dia sudah bertanding cuma tidak ada rezeki.

“Namun kali ini, kebetulan pula rezeki untuk bertanding sama dengan saya dalam PRN Negeri Sembilan ini,” katanya ketika ditemui di sini.

BN kelmarin di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, mengumumkan senarai 108 calon parti itu untuk bertanding di kerusi-kerusi DUN di enam buah negeri yang akan melaksanakan PRN pada bulan hadapan. Ia termasuk 17 orang calon yang akan bertanding mewakili parti itu di Negeri Sembilan.

Sementara itu, Bibi Sharliza memberitahu, isu wanita muda yang berada di luar bandar antara perkara yang akan diperjuangkan beliau di DUN Juasseh.

“Juasseh ini adalah kawasan luar bandar dan kampung tradisi, jadi ada dua teras sahaja yang saya mahu bawa untuk diperjuangkan iaitu memperkasakan dan mempertingkatkan infrastruktur dan modal insan di kampung tradisional.

“Saya juga mahu memperkasanakan wanita, dan wanita muda luar bandar, ini sangat penting, kita calon wanita dan pemimpin wanita harus membela nasib wanita,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya