PASIR PUTEH: Gabungan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (BN-PH) Kelantan akan mengumumkan senarai penuh calon di pilihan raya negeri (PRN) pada 23 Julai ini di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu, Machang.
Ketua Penerangan UMNO Datuk Zawawi Othman berkata, selain pengumuman calon yang akan bertanding di 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) majlis tersebut turut diserikan dengan pelancaran jentera PRN BN-PH.
“Pengerusi PH Datuk Seri Awnar Ibrahim dijangka hadir pada majlis ini nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di Selising di sini hari ini.
Zawawi memberitahu, sebanyak 80 peratus muka baharu akan ditampilkan oleh BN pada PRN kali dalam usaha menambah kerusi DUN.
Katanya, calon yang ditampilkan kali ini datang daripada pelbagai latar belakang termasuk agamawan, ahli akademik dan sebagainya.
“Kita harap calon-calon yang ditampilkan ini mampu ‘memikat’ hati rakyat Kelantan dalam usaha membawa perubahan pada teraju pentadbiran negeri,” ujarnya.-UTUSAN