Bina stesen cas EV di Gunung Ledang

Bina stesen cas EV di Gunung Ledang

K.RAVEN KUMAR melakukan gimik perasmian Karnival Gunung Ledang sambil diperhatikan oleh Taufik Bahar (dua dari kiri) di Hutan Lipur Gunung Ledang, Tangkak, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK: Kerajaan negeri akan membina stesen pengecas bagi kenderaan elektrik (EV) bagi memenuhi keperluan pengunjung yang menggunakan kenderaan tersebut semasa mengunjungi Hutan Lipur Gunung Ledang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Alam Sekitar negeri, K. Raven Kumar berkata, pembinaan stesen tersebut akan diberi perhatian segera kerana ramai pengunjung termasuk pelancong dari negara jiran, Singapura menggunakan kenderaan seumpama itu.

‘Kita pasti ramai pengunjung yang menggunakan EV. Apabila datang ke Gunung Ledang, mereka boleh cas kenderaan mereka dengan mudah.

“Selain itu, kita juga akan sediakan ruang untuk pengunjung yang menggunakan kenderaan rekreasi (RV) di kawasan Gunung Ledang.

“Justeru, kita yakin akan dapat menarik lebih ramai pengunjung ke Gunung Ledang yang memang terkenal dengan keindahan air terjun, alam semula jadi dan legendanya,” katanya selepas merasmikan Karnival Gunung Ledang, di sini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Khairin-Nisa Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri; Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Taufik Bahar dan Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim.

Karnival Gunung Ledang selama tiga hari hingga semalam anjuran PTNJ itu diadakan sempena pembukaan semula air terjun Gunung Ledang kepada umum selepas ditutup selama setahun bagi pengambilalihan operator, kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf kemudahan yang terdapat di pusat rekreasi berkenaan.

Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan termasuk Fun Run, Fun Ride, gerai jualan, pertandingan karaoke dan pameran oleh agensi kerajaan dan swasta.

Sementara itu, Taufik memberitahu, pihaknya berpuas hati dan gembira apabila karnival tersebut mendapat sambutan baik daripada orang ramai.

“Lebih 12,000 pengunjung yang hadir, melebihi sasaran awal kami seramai 10,000. Saya ucapkan terima kasih kepada semua pengunjung dan pihak-pihak yang bersama-sama menjayakan karnival ini.

“Insya-Allah, kami akan berusaha menambah baik kemudahan yang ada demi keselamatan dan keselesaan pengunjung,” katanya kepada Utusan Malaysia.

PTNJ juga merancang untuk menjadikan karnival berkenaan sebagai program tahunan dalam menarik lebih ramai pengunjung ke pusat rekreasi tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya