Bekas timbalan pengarah DBKL didapati bersalah terima rasuah

Bekas timbalan pengarah DBKL didapati bersalah terima rasuah RM200,000

SABUDIN Mohd. Salleh tiba di mahkamah bagi mendengar keputusan rayuan pendakwaan terhadap keputusan mahkamah sesyen pada 15 September tahun lalu yang melepas dan membebaskan beliau daripada dua pertuduhan rasuah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, hari ini. Gambar; -UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mensabitkan bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabudin Mohd. Salleh terhadap dua pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM200,000 bagi mengeluarkan permit kerja.

Hakim K. Muniandy membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mendapati Sabudin bersalah serta mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskannya selepas akhir kes pembelaan.

Beliau menetapkan 15 Ogos ini untuk kedua-dua pihak berhujah sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman terhadapnya.

Ketika membacakan keputusan ringkasnya, Hakim Muniandy menyatakan, hakim Mahkamah Sesyen melakukan kesilapan serius ketika melepas dan membebaskan tertuduh pada akhir kes pembelaan.

Pada hemat beliau, hakim bicara terkhilaf ketika menerima pembelaan Sabudin bahawa beliau tidak mengenali mahupun pernah bertemu dengan saksi utama pendakwaan, Wong May Kuan (subkontraktor kepada Dusari Niaga) yang namanya disebut dalam pertuduhan.

Hakim Muniandy berpendapat, pembelaan tertuduh jauh sekali boleh dipercayai kerana May Kuan yang merupakan saksi pendakwaan ketiga (SP3) mengenali Sabudin dan pernah menghadiri majlis pernikahan anak lelakinya.

“Keterangan itu tidak disangkal. Tiada sesiapapun termasuk tertuduh yang akan menjemput orang asing ke majlis perkahwinan yang merupakan satu majlis sosial. Jemputan itu membuktikan tertuduh mengenali SP3,” ujar hakim berkenaan.

Hakim Muniandy selanjutnya berpuas hati bahawa hakim bicara tersalah arah dari segi undang-undang kerana beliau tidak sepatutnya mengandaikan SP3 sebagai rakan sejenayah atas niat atau tujuan apa sekalipun.

Ujar beliau, meskipun SP3 memberi rasuah RM200,000 kepada Sabudin, ia dibuat atas permintaan tertuduh sebagai balasan mengeluarkan permit kerja kepada Dusari Niaga.

Hakim Muniandy turut berpendapat, hakim Mahkamah Sesyen itu terkhilaf kerana tidak mempertimbang keterangan SP3 yang mana ia disokong oleh keterangan SP2, Wong Kim Kwok.

Beliau selanjutnya berpuas hati dengan keterangan dua saksi pembelaan bahawa Sabudin mempunyai kuasa meluluskan permit kerja kepada Dusari Niaga kerana tertuduh berkuasa penuh melantik mana-mana kontraktor yang pada fikirannya layak menjalankan kerja-kerja berkenaan.

Sehubungan itu, Hakim Muniandy berpendapat, hakim bicara terkhilaf dan tersalah arah dari segi undang-undang yang mewajarkan beliau untuk campur tangan dan memperbetulkannya dengan membenarkan rayuan pendakwaan.

Sehubungan itu, beliau mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen dan menggantikannya dengan sabitan terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

Pada prosiding hari ini, pasukan pendakwaan diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Natrah Fareha Rahmat manakala peguam K. Theivaendran mewakili Sabudin.

Pihak pendakwaan merayu keputusan Mahkamah Sesyen pada 15 September 2022 yang melepas dan membebaskan Sabudin, 61, daripada dua pertuduhan rasuah, di akhir kes pembelaan.

Pada 2 Jun lalu, pendakwaan menghujahkan bahawa hakim bicara keliru dengan pertuduhan yang dihadapi Sabudin dan tidak sepatutnya menyalahkan perayu kerana gagal menunjukkan adanya keperluan tertuduh meminta rasuah daripada May Kuan.

Pihak pembelaan pula menghujahkan, hakim bicara membuat dapatan yang betul ketika membebaskan anak guamnya berdasarkan keterangan saksi-saksi.

Sabudin diperintahkan membela diri selepas Mahkamah Tinggi pada 24 Mac 2022 membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen pada 18 Disember 2020, yang membebaskannya daripada dua tuduhan itu, di akhir kes pendakwaan.

Bagi kedua-dua tuduhan, dia yang ketika itu Timbalan Pengarah Kanan (Awam) di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL didakwa memperoleh suapan RM200,000 daripada May Kuan sebagai upah mengeluarkan permit kerja kepada Dusari Niaga.

Kerja itu berkaitan `Cadangan Kerja-kerja Pengisaran dan Penurapan Semula Jalan bagi Bekas Lubang Gali Syarikat Utiliti Di Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk DBKL Bagi Tahun 2018/2020 (2017/A214)’.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di dalam kedai serbaneka di sebuah stesen minyak, di Jalan Lingkaran Tengah 2, Bukit Antarabangsa di sini dan di hadapan kediamannya di Ukay Perdana, Ampang, masing-masing pada 9 Jun 2018 dan 17 Januari 2019.

Tuduhan itu mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya