Pecah rumah: Bekas pemain Liga Super, dua rakan mengaku tak bersalah - Utusan Malaysia

Pecah rumah: Bekas pemain Liga Super, dua rakan mengaku tak bersalah

MOHD. AZINEE TAIB (tengah) bersama-sama dua rakannya, Muhammad Hairul (kiri) dan Khairul Akmal (depan) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pontian atas pertuduhan pecah rumah dan menyimpan harta curi pada Jun dan awal bulan ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Seorang bekas pemain bola sepak Liga Super mengakui tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tiga pertuduhan terlibat dalam jenayah pecah masuk rumah dan menyimpan harta curi antara Jun dan bulan ini.

Tertuduh, Mohd. Azinee Taib, 33, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Nur Azzuin Abdul Moati.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa bersama-sama dua lagi rakannya yang masih bebas telah memecah masuk sebuah rumah di Taman Benut Utama, Benut, dekat sini untuk mencuri pada pukul 12.05 tengah hari, 8 Jun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Azinee dituduh bersama-sama dua rakannya, Muhammad Hairul Hafiz Muzaren, 24, dan Khairul Akmal Zainol Abidin, 31, didakwa memecah sebuah rumah di Taman Cendana, Benut, di sini bagi tujuan mencuri pada pukul 1.15 petang, 3 Julai lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, dia didakwa di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, Mohd. Azinee dituduh menyimpan harta curi, iaitu sebuah telefon bimbit jenama OPPO A5 bewarna putih milik mangsa rumah yang dipecah masuk di Jeti Nelayan Ayer Baloi, kira-kira pukul 4.30 petang, 3 Julai lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurezzati Zaini, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Terdahulu, Majistret Nur Azzuin membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan diarahkan melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan sehingga selesai kes.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 30 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Media pada 10 Julai lalu melaporkan Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohamad Shofee Tayib mengesahkan seorang bekas pemain bola sepak tanah air dan dua lagi rakannya direman tujuh hari kerana disyaki terlibat dalam jenayah di Benut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya