Bekas eksekutif syarikat minyak didenda RM100,000 kemuka invois palsu - Utusan Malaysia

Bekas eksekutif syarikat minyak didenda RM100,000 kemuka invois palsu

TERTUDUH diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) keluar dari kamar Mahkamah Sesyen di Kompleks Mahkamah Kuantan di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang bekas eksekutif syarikat minyak dan gas didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif mengemukakan invois palsu bagi pembelian peralatan kebakaran dan keselamatan bernilai RM41,760 dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Hafez Manap, 38, yang juga merupakan eksekutif bomba dan kecemasan di syarikat terbabit turut mengaku bersalah sembilan pertuduhan alternatif lain yang telah diambil kira mengikut Seksyen 171(A) Prosedur Jenayah.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain turut memerintahkan bapa kepada dua anak itu menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Dalam pertuduhan alternatif keempat, Hafez mengaku bersalah menggunakan invois bernilai RM41,760 dengan butiran palsu untuk pembayaran di pejabat syarikatnya di kawasan Perindustrian Gebeng, di sini, sekitar 11 Mac 2021.

Pertuduhan tersebut didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun yang sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan asal adalah mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai kesalahan yang dilakukan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Dalam sembilan lagi pertuduhan alternatif, Hafez mengaku menyerahkan invois mengandungi maklumat palsu bagi mendapatkan bayaran penghantaran peralatan kebakaran dan keselamatan, termasuk sut perlindungan kimia, muncung api, hos kebakaran, pengesan asap dan haba serta alat bunyi kecemasan. Namun, tiada satu pun barang yang dihantar.

Tertuduh didakwa membuat tuntutan itu antara RM18,900 dan RM41,760 di pejabat syarikatnya di kawasan Perindustrian Gebeng antara 26 Januari 2021 dan 21 September 2021.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Fadhly Mohd. Zamry berkata, memandangkan tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif, mahkamah perlu mengambil kira pertuduhan lain semasa menjatuhkan hukuman.

“Denda RM100,000 adalah wajar kerana ia melibatkan kerugian berjumlah RM320,000 kepada syarikat. Denda RM100,000 boleh dijadikan pengajaran kepada tertuduh supaya dia tidak melakukan kesalahan itu pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, peguam Ridha Abdah Subri yang mewakili tertuduh mencadangkan denda anak guamnya dikenakan RM80,000.

“Beliau telah menjimatkan masa mahkamah dan kos pengurusan. Pendapatannya juga terjejas berikutan tertuduh mula menganggur malah terpaksa menyara keluarga termasuk isteri, anak dan bapa yang uzur. Selain itu pula, anak guam saya juga merupakan pesalah kali pertama,” katanya.

Hakim menjatuhkan hukuman denda RM100,000 dan menetapkan Mohd. Hafez tidak boleh didakwa bagi mana-mana baki sembilan pertuduhan yang diambil kira mengikut Seksyen 171 Tatacara Jenayah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN