MEKAH: Penempatan jemaah untuk bermalam di Mina boleh dipelbagaikan dengan beberapa pilihan sebagai langkah menangani isu ruang sempit dalam khemah.
Bekas Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji (Tabung Haji (TH) – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya berkata, antara cadangan untuk membantu mengatasi permasalahan sekian lama itu ialah jemaah ditempatkan di kawasan Mina-Muzdalifah atau dikenali sebagai Mina Dua.
“Menerusi pilihan ini, jemaah haji boleh berulang alik antara Mina dengan Mina Dua bagi memastikan keselesaan mereka.
“Hukumnya adalah harus kerana yang penting jemaah mesti berada di bumi Mina selepas waktu separuh malam walaupun hanya sesaat. Ibadah bermalam dikira sebagai sah dan jemaah boleh keluar semula dari Mina selepas itu. Malah, melintas saja pun sudah sah ibadah bermalam di Mina.
“Khemah juga boleh diwujudkan di kawasan Muzdalifah yang lebih luas. Bagaimanapun, perkara ini memerlukan persetujuan daripada kerajaan Arab Saudi sebagai tuan rumah,” katanya ketika dihubungi.
Juanda merupakan Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji (TH-Jakim) dari 2000 hingga 2009, selain berpengalaman sebagai guru agama serta pakar rujuk ibadah haji TH di tanah suci (1997-2009) dan merupakan pengerusi panel penulis buku Panduan Ibadat Haji terbitan TH untuk jemaah haji Malaysia.
Media sebelum ini melaporkan isu ruang sempit dalam khemah di Mina mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan keprihatinan baginda terhadap kebajikan jemaah Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, dipetik sebagai berkata, beliau menerima teks pesanan secara peribadi daripada Seri Paduka yang mahu perkara itu diteliti dan ditangani.
Justeru, Mohd. Na’im berkata, beliau berbincang dengan pihak pengurusan tertinggi TH supaya Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji (TH-Jakim) memikirkan ijtihad baharu dalam usaha mengatasi isu berkenaan terutama dari aspek bermalam di Mina.
Beliau berkata, langkah itu perlu kerana sekiranya masih berpegang kepada ijtihad lama, masalah kesesakan dalam khemah di Mina yang berlaku saban tahun lebih-lebih lagi dengan peningkatan jumlah jemaah haji akan berterusan berikutan keluasan kawasan terbabit tidak berubah dan ditetapkan oleh hukum.
Mengulas lanjut, Juanda yang juga bekas Mufti Perlis berkata, satu lagi alternatif yang boleh diterokai dalam menangani isu sama ialah menempatkan sebahagian jemaah Malaysia di Aziziyah.
“Bagi pilihan ini, penginapan kumpulan jemaah yang lewat memasuki Mekah berkemungkinan boleh ditempatkan di Aziziyah yang lebih selesa. Walaupun jauh dari Masjidil Haram, mereka akan lebih selesa untuk ke Mina, Muzdalifah serta Arafah ketika operasi masyair.
“Namun, perbincangan dengan pihak berkuasa Arab Saudi amat penting bagi memastikan ada penyelarasan dan keselesaan jemaah berkenaan tidak terganggu dengan perjalanan serta kesulitan penginapan yang lain,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai alternatif itu boleh diambil bagi memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah haji Malaysia pada masa depan.
“Sekiranya ada keputusan yang diambil nanti, TH perlu menerangkannya dengan baik kepada jemaah. Insya-Allah dengan cara ini, pertambahan jemaah haji tidak akan menjadi isu kerana pilihan tempat khemah dan penempatan mereka dipelbagaikan,” katanya. – UTUSAN