ALOR GAJAH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos sara Hidup (KPDN) berharap kerajaan meluluskan cadangan mengangkat Bahagian Penguatkuasaan KPDN sebagai sebuah jabatan dalam masa terdekat.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, Kertas Kabinet berhubung perkara itu telah dibawa dan dipersetujui tahun lalu.
Kata beliau, beberapa sesi libat urus juga telah dijalankan dan pihaknya kini sedang menunggu isyarat kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Kita sedang menunggu lampu hijau daripada kerajaan untuk mengangkat bahagian penguatkuasaan sebagai sebuah jabatan. Ini adalah satu usaha yang saya rasa perlu untuk kami lanjutkan, memandangkan peranan dan tanggungjawab penguat kuasa semakin penting serta mencabar.
“Saya mendapat maklum semasa masuk (bertugas) ke pejabat dahulu, perkara ini sebenarnya telah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Baginda begitu prihatin dan memberikan saranan agar bahagian ini menjadi sebuah jabatan.
“Saya harap hasrat KPDN ini diberi perhatian khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya isu keterjaminan makanan dapat kita tingkatkan kawal selianya melalui penglibatan penguatkuasaan yang seharusnya diberikan pengiktirafan daripada bahagian kepada jabatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Kawalan Kehormatan di sini, hari ini.
Tambah Salahuddin, status sebagai sebuah jabatan memberi kelebihan kepada Bahagian Penguatkuasaan KPDN kerana mempunyai kuasa, peruntukan kewangan dan logistik lebih besar untuk melaksanakan tanggungjawabnya.
Menurutnya, pemerkasaan Bahagian Penguatkuasaan turut mengurangkan kebergantungan KPDN kepada agensi lain, khususnya melibatkan risikan.
“Kita perlukan bahagian risikan supaya dapat mempertingkatkan lagi maklumat, contohnya barang-barang yang diimport dari luar negara. Dengan adanya bahagian risikan yang lebih profesional, bekalan maklumat yang diterima lebih banyak dan tepat.
“Kita setakat ini mungkin bergantung dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain jabatan. Tapi dengan adanya bahagian risikan sendiri, KPDN dapat mempertingkatkan maklumat serta memberi perkhidmatan dengan lebih berkesan,” ujarnya. – UTUSAN