KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay tiba di Menara 1, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, di sini bagi memulakan tugas rasmi di pejabat Timbalan KPN.
Facebook PDRM berkata, beliau bersama isteri, Datin Seri Zalena Mohd Ariffin merangkap Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis Malaysia tiba di pintu masuk utama Bukit Aman pukul 8 pagi tadi.
Setiba di Bukit Aman, Ayob Khan diberikan “Guard Turn Out” oleh anggota Cawangan Kem Komandan, Bukit Aman, sebelum kenderaan rasminya berhenti di lobi utama Menara 1.
Ayob Khan disambut Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin bersama barisan Ketua Urus Setia KPN sebelum diiringi ke tingkat 31 yang menempatkan pejabat rasmi KPN dan timbalannya.
Tugasan beliau hari ini dimulakan dengan bacaan doa selamat yang berlangsung di Pejabat KPN dipimpin oleh Penolong Pengarah (Psikologi dan Kaunseling) Bahagian Agama dan Kaunseling, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohd Zakarim Abdullah @ Zakaria dan turut dihadiri oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Ayob Khan yang memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dilantik sebagai Timbalan KPN, berkuat kuasa 22 Jun lalu. – UTUSAN