JEMPOL: Aspek keselamatan dan penyelenggaraan bangunan uzur di sekolah akan sentiasa diberikan keutamaan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan bilik darjah dalam keadaan selamat dan dapat digunakan secara optimum
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, dalam sesi lawatannya ke sekolah-sekolah, beliau mendapati sekolah berada dalam keadaan memuaskan bagaimanapun terdapat banyak sekolah terutama yang sudah beroperasi sejak tahun 1970-an dilihat memerlukan penyelenggaraan.
Jelasnya, terdapat bilik darjah di sekolah-sekolah berkenaan yang mempunyai masalah anai-anai dan terpaksa dikosongkan dan murid pula dipindahkan ke bilik khas bagi menjalani pembelajaran.
“Jadi amat penting untuk kita salurkan peruntukan penyelenggaraan supaya sekolah dapat dinaik taraf ke tahap yang lebih selamat dan bilik darjah di sekolah dapat digunakan secara optimum,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bahau, di sini, hari ini.
Terdahulu Hui Ying turut melawat dua buah sekolah lagi iaitu di SJKC Kampung Baru Tampin dan SJKC Chung Hua, Kuala Pilah.
Dalam lawatan berkenaan, beliau turut menyerahkan peruntukan berjumlah RM1.4 juta kepada 10 buah sekolah iaitu masing-masing di daerah Kuala Pilah, Tampin dan Jempol bagi tujuan kerja-kerja penyelenggaraan tandas sekolah.-UTUSAN.