Arul Kanda mohon Jabatan Peguam Negara tarik balik rayuan - Utusan Malaysia

Arul Kanda mohon Jabatan Peguam Negara tarik balik rayuan

ARUL KANDA KANDASAMY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy menghantar surat representasi memohon agar Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik rayuan berhubung keputusan mahkamah yang melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan meminda laporan audit syarikat berkenaan.

Peguam Jasmine Cheong yang mewakili Arul Kanda memaklumkan surat representasi tersebut telah dihantar pada 20 Julai lalu.

“Pihak pendakwaan memerlukan masa sebulan untuk meneliti surat representasi tersebut. Mahkamah menetapkan 28 Ogos untuk pengurusan kes selanjutnya,”kata peguam itu.

Perkara tersebut dimaklumkan kepada media selepas pengurusan kes tersebut yang dijalankan secara dalam talian di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Nurul Azrina Mohamed Yusof.

Turut hadir pada prosiding tersebut peguam, Alaistair Brandah Norman mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ng Siew Wee.

Alaistair ketika dihubungi mengesahkan tarikh pengurusan kes lanjutan itu dan turut menambah pada tarikh berkenaan, pihak pendakwaan perlu memaklumkan kepada mahkamah mengenai status surat representasi itu.

Selain itu, Alaistair turut memaklumkan pihaknya belum menghantar sebarang surat representasi bagi pihak Najib.

MELEPAS

Pada 9 Mac lalu, AGC  memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Najib dan Arul Kanda daripada pertuduhan meminda laporan akhir audit 1MDB bagi mengelakkan diri daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Pada 3 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) melepas dan membebaskan Najib dan Arul Kanda selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Kedua-duanya dibebaskan daripada pertuduhan tanpa dipanggil membela diri.

Hakim itu turut memberikan Arul Kanda sijil indemniti yang mengecualikan beliau daripada sebarang liabiliti undang-undang pada masa hadapan.

Dalam penghakimannya, Mohamed Zaini berkata, beliau sudah memberikan penilaian maksimum pada akhir kes pendakwaan dan tidak menemukan bukti untuk mensabitkan atau membuktikan Najib secara jelas mengarahkan pindaan dibuat untuk membebaskannya daripada sebarang liabiliti sivil atau jenayah.

Dalam kes Arul Kanda, hakim mendapati beliau (Arul Kanda) konsisten sepanjang keterangannya dan ia serasi dengan keterangan dikemukakan dan keterangan saksi lain.

Mengikut pertuduhan pindaan, Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada dikenakan sebarang tindakan sivil atau jenayah berkaitan peranannya di dalam perjalanan operasi syarikat 1MDB.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam meminda laporan berkenaan bagi melindungi bekas Presiden UMNO itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 hingga 26 Februari 2016.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya