PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuskan takziah buat ahli keluarga mangsa tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, di Kemaman di Terengganu.
Anwar berharap semoga ahli keluarga kepada mangsa diberi ketabahan menempuhi dugaan itu.
“Saya juga mendoakan agar misi mencari dan menyelamat dipermudahkan,” katanya dalam ciapan Twitter hari ini.
Semalam, hasrat 10 sekeluarga untuk berkelah bertukar tragedi apabila mereka dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, semalam.
Sepuluh mangsa tragedi tersebut ialah Azizah Eiyi, 40; Karim Abdullah, 39; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6; Putri Aryana Umaira Karim, 4, dan Muhammad Fikri Saliman, 24.
Kejadian kepala air itu dikatakan berlaku susulan hujan lebat berterusan sejak petang kelmarin hingga awal pagi semalam.- UTUSAN