KUALA LUMPUR: Hanya Tan Sri Annuar Musa seorang sahaja yang tidak tahu mengenai wujudnya cubaan untuk mengharamkan UMNO, kata Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO itu menyifatkan, sebagai setiausaha agung partinya dan Barisan Nasional (BN) ketika itu, Annuar sepatutnya mempertahankan parti dan bukan mana-mana pihak lain.
“Saya nak beritahu Annuar Musa, kamu tahu apa?” Soal Ahmad Zahid mengenai kenyataan Annuar.
“Kamu jadi setiausaha agung pun saya lantik sebab kamu kalah jawatan timbalan presiden tapi hati kamu lebih ke sana. Bila adakan Muafakat Nasional dan Penyatuan Ummah, hati kamu ke belah sana bukan UMNO.
“Jangan ceritalah lagi kononnya saya dan kepemimpinan utama tidak tahu. Kamu seorang yang tak tahu sebab hati tidak sama dengan UMNO walaupun bergelar Setiausaha Agung UMNO dan BN,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Kenyataan balas Presiden UMNO itu susulan penegasan Annuar yang mengatakan bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah merancang untuk mengharamkan UMNO seperti yang didakwa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun, Ahmad Zahid menyifatkan kenyataan Annuar itu menunjukkannya sebagai tidak menghargai kedudukan dan parti.
“Inilah jenis orang yang tidak tahu mengenang jasa. Bila kaduk naik junjung, inilah peribadi seseorang itu,” katanya.-UTUSAN