SEREMBAN: Pelumba BMX dari pasukan Terengganu Hanelang, Amer Akbar Anuar muncul juara kebangsaan bagi kategori Lelaki Elit (19-29) pada Kejohanan BMX Kebangsaan 2023 yang diadakan di Arena BMX Nasional di Nilai di sini.
Pelumba dari Dungun, Terengganu itu mengalahkan rakan sepasukannya, Saniy Syahmi di tangga kedua manakala Syed Irfan Danish Syed Anuar dari pasukan Johor di tempat ketiga.
Menurut Amer Akbar, dia bersyukur dengan kemenangan berkenaan dan ia secara tidak langsung menjadi pembakar semangat buatnya yang dalam persiapan ke Kejohanan Lumba Basikal BMX Asia hujung bulan ini.
“Alhamdulillah rezeki saya pada hari ini, dapat tempat pertama dan juara kebangsaan untuk tahun 2023. Kemenangan ini merupakan yang pertama saya dapat dalam kategori Elit Kebangsaan.
“Kali ini agak sengit juga kerana ramai saingan yang laju-laju tetapi Alhamdulillah sudah rezeki malah rakan sepasukan juga dapat nombor dua.
“Kemenangan ini akan menjadi penguat semangat untuk saya ketika Kejohanan Lumba Basikal BMX Asia (BMX ACC) di Filipina pada hujung bulan ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlumbaan itu.
Sementara itu, pengarah teknikal kejohanan, Ronizam Ismail berkata, seramai 280 orang peserta mengambil bahagian menerusi 25 kategori yang dipertandingkan.
“Jumlah penyertaan tahun ini merupakan yang terbesar dari tahun-tahun sebelum ini,” katanya lagi.-UTUSAN.