PASIR MAS: Parti Amanah Negara (Amanah) mendedahkan veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li bersetuju untuk dilantik sebagai pengarah pilihan raya bagi memimpin gabungan Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) Kelantan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.
Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, persetujuan itu hasil pertemuan beliau dengan Ku Li sebelum ini.
Menurutnya, bagaimanapun Amanah menyerahkan kepada kebijaksaan BN untuk membuat keputusan tersebut sekali ketua yang memimpin gabungan BN-PH di negeri ini.
“Saya (Amanah) hanya melontarkan idea pada pihak BN untuk laksanakan. Namun…kita (Amanah) tidak memberikan sebarang tekanan berhubung perkara ini.
“Saya lihat, Ku Li masih mempunyai aura dan mampu membantu gabungan itu pada PRN nanti,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Bicara Kenaf di Kampung Slow Machang, di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Amanah mencadangkan veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li sebagai pengarah untuk gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Kelantan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Ku Li adalah individu tepat untuk mengetuai gerak kerja PH-BN dan mampu memberi impak kepada gabungan parti di bawah Kerajaan Perpaduan itu untuk mencapai keputusan lebih positif pada PRN nanti.-UTUSAN