JOHOR BAHRU: Satu akaun Facebook palsu dikesan menyamar sebagai isteri kepada Tunku Mahkota Johor, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam bagi mempromosi pendingin hawa buatan Jepun.
Akaun Facebook bernama YAM Che’ Puan Besar Khaleeda itu turut menggunakan beberapa keping foto Che Puan Besar Khaleeda termasuk gambar bersama Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta putera dan puteri mereka.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya dimaklumkan tentang perkara itu setelah seorang lelaki berusia 40 tahun tampil membuat laporan polis pada pukul 3.19 petang semalam di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, di sini.
“Pengadu mendapati satu akaun Facebook menggunakan nama YAM CHE’ PUAN BESAR KHALEEDA itu adalah akaun palsu.
“Akaun tersebut menerusi hantarannya menunjukkan kapsyen yang menggambarkan YAM CHE’ PUAN BESAR KHALEEDA mempromosikan pendingin hawa dari negara Jepun,” katanya di sini hari ini.
Akaun Facebook terbabit dipercayai telah diwujudkan sejak beberapa hari lalu dipercayai bagi memperdayakan warganet dengan menjual pendingin hawa tersebut pada harga promosi.
Pemilik akaun terbabit juga telah mengubah (edit) gambar seakan-akan Che Puan Besar Khaleeda menyerahkan barangan elektrik itu kepada Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail.
Dalam pada itu, Kamarul Zaman menasihati orang ramai supaya tidak menyalahgunakan media sosial untuk kepentingan peribadi dan tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Kes disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali,” tegasnya. – UTUSAN