Air Terjun Gunung Ledang dibuka semula mulai 8 Julai - Utusan Malaysia

Air Terjun Gunung Ledang dibuka semula mulai 8 Julai

AIR Terjun Gunung Ledang yang terkenal dengan cerita mitos Puteri Gunung Ledang akan dibuka semula kepada orang ramai mulai 8 Julai ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK: Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ)  membuka semula Air Terjun Gunung Ledang, dekat ini kepada orang ramia mulai 8 Julai ini.

Pengarahnya, Taufik Bahar berkata, penutupan sementara lokasi tersebut kepada orang awam sejak setahun lalu bagi membaik pulih dan  menaik taraf kemudahan awam demi keselesaan pengunjung.

“Sempena pembukaan ini, PTNJ akan menganjurkan Karnival Gunung Ledang selama tiga hari bermula 8 hingga 10 Julai 2023. 

“Pelbagai aktiviti dan pengisian menarik akan diadakan sepanjang karnival berlangsung seperti Karnival Tanah Daerah Tangkak, pameran oleh agensi-agensi kerajaan dan swasta, Fun Run, Fun Ride, gerai jualan, pemeriksaan kesihatan, pertandingan karaoke, motorbike show, pertandingan mewarna serta apresiasi bahasa dan sastera.

“Bagi menghargai kesabaran dan penantian semua pihak, PTNJ bersetuju untuk membenarkan orang awam masuk secara percuma dan tiada bayaran masuk serta tiket parkir kenderaan dikenakan sepanjang tempoh tiga hari karnival ini berlangsung. Justeru, orang ramai khususnya rakyat Johor dijemput untuk datang beramai-ramai bagi memeriahkan karnival berkenaan dan mengunjungi Air Terjun Gunung Ledang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pembukaan semula Air Terjun Gunung Ledang kepada orang ramai juga adalah usaha untuk membawa limpahan ekonomi kepada para peniaga tempatan dan masyarakat sekitar. 

“Bagi memastikan keselamatan terkawal dan tahap kebersihan terjaga, jumlah kemasukan ke kawasan air terjun dihadkan kepada seramai 2,000 pengunjung pada satu-satu masa,” katanya.

Para pengunjung turut disarankan membawa beg plastik sampah atau boleh membelinya daripada pihak PTNJ demi menjaga kebersihan persekitaran.

Resort untuk penginapan masih belum beroperasi dan kehadiran pelawat hanya melibatkan kemasukan harian.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi PTNJ menerusi talian 069772254 (pejabat) 013-7440953 atau 013-7440961. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya