MARANG: Penyandang Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim mahu membuktikan beliau masih mendapat kepercayaan dan sokongan daripada pengundi untuk kekal mempertahankan kerusi Parlimen tersebut dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 12 Ogos depan.
Menurutnya, keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu yang membatalkan kemenangannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum ini tidak akan menjejaskan reputasinya sebagai calon Perikatan Nasional (PN) dalam PRK tersebut.
Malah, katanya, beliau akan membuktikan kemampuannya untuk memenangi semula kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan majoriti lebih besar selepas mendapat kepercayaan daripada pucuk pimpinan PN dan Pas untuk bertanding sekali lagi.
“Saya berterima kasih di atas kepercayaan diberikan PN khususnya Pas untuk saya meneruskan perjuangan di Parlimen.
“Insya-Allah sepertimana yang saya sebut sebelum ini bahawa saya akan bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan di (PRK) Parlimen Kuala Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pengumuman calon PRK Kuala Terengganu dan Pilihan Raya Negeri (PRN) oleh Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang pada Majlis Pengisytiharan Calon Perikatan Nasional (PN) Terengganu di Dewan Tok Guru, Rusila, di sini, malam tadi.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi PN merangkap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
PRK
Bagaimanapun Ahmad Amzad yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Tenaga dan Inovasi berkata, beliau tidak memandang mudah pertarungan dalam PRK itu apabila bakal bertanding dengan calon Pakatan Harapan (PH) yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azan Ismail.
Malah, tambahnya, beliau menganggap calon-calon yang bertanding dalam PRK itu nanti sebagai lawan yang hebat.
“Semua cabaran (calon-calon bertanding), sama ada daripada PKR ataupun Barisan Nasional (BN), saya sentiasa menganggap mereka saingan yang serius.
“Sudah tentulah cabaran itu perlu saya tangani sebaiknya bagi memastikan kemenangan PN,” ujarnya.
Dalam PRU15 pada November tahun lalu, Ahmad Amzad Hashim memenangi Parlimen Kuala Terengganu dengan majoriti 40,907 undi.
Beliau menewaskan calon BN, Datuk Mohd. Zubir Embong yang mendapat 22,109 undi, calon PH, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah (10,946 undi) dan calon Pejuang, Mohamad Abu Bakar Muda (481 undi).- UTUSAN