Agong sambut baik pemasyhuran Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah, Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal - Utusan Malaysia

Agong sambut baik pemasyhuran Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah, Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal

AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) menandatangani plak Pemasyhuran Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah dan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal bertempat di Pusat Biodiversiti Lanchang di Temerloh, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyambut baik pemasyhuran Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah dan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal sebagai satu anjakan paradigma positif kerajaan negeri terhadap pemeliharaan alam sekitar.

Al-Sultan Abdullah bertitah, selama 45 tahun baginda menjadi Tengku Mahkota, belum ada lagi usaha untuk merizabkan satu kawasan yang besar di atas nama Sultan dan Tengku Mahkota.

“Masa dulu yang selalu namakan nama saya ialah air terjun sahaja. Itu sahaja saya boleh ingat untuk dalam hutan dan ini satu kawasan yang luas, 134,000 hektar di Gunung Ais dan di sini kawasan rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal.

“Saya harap kawasan yang dicadangkan ini diwartakan dan diselenggarakan dengan sebaik mungkin. Kita jadikan ia sebagai satu contoh kepada dunia supaya dapat kita memelihara alam sekitar, habitat untuk spesies Harimau Malaya dan bintang lain,” titah baginda pada majlis Pemasyhuran Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah dan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal bertempat Pusat Biodiversiti Lanchang di sini hari ini.

Berkenan berangkat sama, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Al-Sultan Abdullah bertitah, usaha pemasyhuran rizab berkenaan juga dianggap sebagai satu langkah baik dan utama yang mana ia harus melaksanakan atau meningkatkan pendekatan yang lebih berkonsepkan pembangunan mampan.

“Ia harus dipelihara untuk jangka masa panjang bukan jangka pendek. Jadi ini adalah harapan dan permintaan saya untuk melihat pendekatan ini di mana kerajaan negeri perlu meneliti pelbagai aspek sebelum meluluskan apa jua bentuk projek sama ada di kawasan berbukit, kawasan pulau mahupun daratan,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut menyentuh tentang cadangan Seri Paduka kepada kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Sumber Asli untuk membuat perancangan jangka panjang tentang soal kawasan takungan air.

“Saya telah menyatakan kepada kerajaan sekarang mahupun sebelum ini kerana Pahang masih memiliki 57 peratus hutan yang belum disentuh. Mudah-mudahan akan tambah lagi kawasan tanah hijau.

“Saya harap kementerian kenal pasti kawasan yang boleh digazetkan untuk jadi takungan air dan boleh dibekalkan kepada negeri sekitar termasuk negeri Pahang sendiri. Harap dapat kaji dengan teliti sebelum terlambat dan perlu perancangan terperinci,” titah baginda.

Baginda dalam pada itu menzahirkan terima kasih kepada Tengku Hassanal atas usaha berterusan untuk berjuang mempertahankan masa hadapan Harimau Malaya, spesies hidupan liar dan ekosistem negara.

“Pada hari ini berlaku pelbagai kepincangan terhadap ekosistem negara lantaran sikap segelintir kita yang tidak mensyukuri kepentingan ciptaan Ilahi. Sempena hari yang penuh bersejarah ini marilah sama-sama kita beriltizam untuk mengubah sikap agar kita mensyukuri nikmat kurniaan Ilahi dan bersama-sama memelihara kepentingan makhluk lain supaya alam semesta ini dapat kita wariskan buat generasi yang akan datang,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya