Agong: Jauhi fitnah, hasad dengki

Agong: Jauhi fitnah, hasad dengki

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengurniakan anugerah Tokoh Maal Hijrah 2023 kepada Abdul Monir Yaacob di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan semua pihak agar menjauhi sikap fitnah memfitnah serta berfikiran prasangka yang tidak mendatangkan faedah kepada bangsa dan negara.

Baginda turut menasihatkan rakyat untuk menjauhi sikap hasad dengki dan berfikiran sempit serta negatif dalam setiap tindakan.

Mengambil ibrah peristiwa hijrah, Seri Paduka mengajak seluruh rakyat untuk bersatu hati dalam membentuk masyarakat yang lembut berbicara dan halus menyampaikan pesanan.

“Beta ingin mengajak seluruh rakyat untuk bersatu hati dalam membentuk sebuah masyarakat yang lembut berbicara, halus dalam berpesan, harmoni dalam ikatan persaudaraan, jujur dalam pekerjaan, amanah dalam menggalas tugas dan gagah perkasa dalam mencipta kejayaan.

“Dan di sini, beta menasihatkan jauhi perasaan sifat hasad dengki, fitnah-memfitnah, janganlah berfikiran judgemental (prasangka), sempit dan negatif sebab ia tidak mendatangkan faedah kepada bangsa dan negara,” titah Seri Paduka dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2023M di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, semalam.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Yang turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Titah Al-Sultan Abdullah, kesatuan dan perpaduan tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan adat resam perlu diterjemahkan oleh rakyat Malaysia sejajar semangat dan roh hijrah demi membangunkan negara pertiwi ini.

“Penyatuan dan kesepaduan kaum Muhajirin dan Ansar yang berlaku pada 1,400 tahun lalu merupakan semangat hijrah, wajar dijadikan pedoman dalam mengurus kepelbagaian dan kerencaman negara.

“Lantaran itu, adalah amat bertepatan bagi kita untuk bersama-sama menghayati tema sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan pada tahun ini iaitu Perpaduan Teras Malaysia Madani,” titah baginda.

Bersempena kedatangan tahun baharu hijrah, Seri Paduka mengajak rakyat untuk mensyukuri nikmat keamanan dan kemakmuran yang dikecapi negara selama ini.

“Suburkan rasa kasih dan kecintaan kita kepada tanah air ini sebagaimana cintanya Rasulullah kepada tanah kelahiran baginda,” titah Al-Sultan Abdullah.

Selain itu, Seri Paduka bertitah, semangat dan roh hijrah dalam memupuk sifat amanah dan berintegriti yang hendaklah sentiasa tumbuh segar di dalam setiap rakyat Malaysia

Pada masa sama, Al-Sultan Abdullah menghargai usaha kerajaan menggerakkan agenda Malaysia Madani bagi membentuk masyarakat menghayati nilai ihsan dan mendukung prinsip keadilan serta semangat toleransi.

“Beta turut menghargai pelaksanaan Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani sebagai langkah proaktif untuk menjayakan agenda perpaduan dan pembaharuan ummah,” titah Al-Sultan Abdullah.

Al-Sultan Abdullah juga sempat menzahirkan ucapan selamat menyambut tahun baharu hijrah sebelum baginda ‘berhijrah’ ke Pahang tidak lama lagi.

“Mengakhiri titah, sebelum saya ‘berhijrah’ ke Pahang tidak lama esok, beta dan Raja Permaisuri ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut tahun baharu hijrah, semoga Allah melindungi dan memberkati serta melimpahkan kerahmatan-Nya kepada negara dan rakyat yang beta sayangi sekalian,” titah Seri Paduka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN