PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan ada dalam kalangan pemimpin parti Melayu dan Islam lebih ramai menggunakan kuasa untuk mengkayakan diri, keluarga dan keturunan masing-masing.
Sebaik menjawat jawatan Perdana Menteri, beliau melihat segala fail yang mendedahkan bahawa negara sudah mewarisi satu sistem yang benar-benar rosak.
Justeru, kata beliau, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk memastikan negara ini diurus degan baik bagi mengelak daripada ‘penyakau’ untuk terus memunggah kekayaan negara.
“Bercakap berdegar-degar jaga Melayu, Islam, jaga negeri, tapi masing-masing mempunyai kekayaan berbilion ringgit.
“Sebab itu bila orang jerit kuat-kuat nak tolong Melayu, saya tengok muka-muka ini kalau betul dia kaya, saya kata nak tolong Melayu, silakan. Harta kamu berbilion-bilion itu serahkan setengahnya kepada orang Melayu. Dari mana kamu dapat berbilion itu?” katanya ketika menyampaikan amanat dalam program Cakna Madani Perdana Menteri bersama agensi penguatkuasaan di sini hari ini.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mencabar mana-mana pemimpin parti politik mahu berjuang untuk rakyat, maka pulangkan balik kekayaan kepada rakyat demi menyelamatkan negara.
“Saya bukan bercakap ini sebagai agenda politik, tapi sementara saya di sini saya menjamin apapun serangan yang mereka lemparkan, saya tidak akan tolak ansur sama sekali.
“Saya tidak akan izinkan negara ini dan pemimpin-pemimpin menggunakan kuasa mencuri harta rakyat dan merosakkan negara. Jadi saya memohon kerjasama penguatkuasaan untuk melaksanakan amanah dengan baik,” katanya. – UTUSAN