KUANTAN: Seramai 78 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 di negeri ini memperoleh keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 yang menyaksikan peningkatan 3.88 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu seramai 59 orang.
Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), Abdul Rahim Mohd. Yunus berkata, daripada jumlah itu seorang calon merupakan aliran Sains manakala 77 lagi pelajar aliran sastera.
Menurutnya, seramai 1,063 calon bersamaan 52.91 peratus memperoleh PNGK sekurang-kurangnya 3.0 iaitu peningkatakan 1.32 mata berbanding tahun sebelumnya.
Katanya lagi, terdapat 41 buah sekolah bantuan penuh kerajaan mendaftarkan calon untuk peperiksaan STPM 2022 dengan 32 buah sekolah mencapai prestasi kelulusan penuh 100 peratus.
“Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Triang, Bera muncul sebagai sekolah yang melahirkan calon mendapat PNGK 4.0 paling ramai iaitu seramai lapan calon.
“SMK Dong, Raub dengan 26 calon mengungguli sekolah terbaik STPM dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 3.81 diikuti SMK LKTP Tersang, Raub, dan SMK LKTP Chini, Pekan,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman keputusan STPM 2022 Sekolah-Sekolah Negeri Pahang di SMK Astana di sini hari ini.
Abdul Rahim menjelaskan, seramai 2009 daripada 2,076 pelajar yang menduduki peperiksaan STPM 2022 dengan peratus kehadiran 96.7.
“Daripada jumlah itu, seramai 1,997 calon atau 99.4 peratus memperoleh kelulusan penuh iaitu mendapat sekurang-kurangnya satu mata pelajaran lulus penuh.
“Seramai 14 calon memperoleh keputusan penuh lima mata pelajaran dan 1,633 calon bersamaan 81.28 peratus memperoleh keputusan penuh empat mata pelajaran.
“Peratus yang dicapai ini menunjukkan penurunan seramai 11 orang calon berbanding 2021, namun berlaku penjngkatan dalam peratus iaitu 0.94 peratus,” katanya.
Beliau juga memberitahu, prestasi kualiti pencapaian sekolah-sekolah di negeri ini melalui GPS menunjukkan min GPS 41 buah sekolah kerajaan pada 2022 adalah 2.90 mata sama seperti tahun sebelumnya.
Dalam pada itu, calon dari SMK Muadzam Shah, Rompin, Mazwin Faulin Mohd. Azlin dinobatkan sebagai calon dengan pencapaian terbaik kebangsaan bagi kategori masyarakat Orang Asli. – UTUSAN