75 peratus remaja Malaysia terlibat tonton video, lihat gambar

75 peratus remaja Malaysia tonton video, lihat gambar pornografi

-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 75 peratus remaja di Malaysia terutamanya lelaki pernah terlibat dengan kegiatan menonton video atau melihat gambar pornografi.

Hasil kajian dijalankan Jabatan Perubatan Keluarga Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak tahun 2021 mendapati kegiatan tidak bermoral itu boleh menjerumus remaja di negara ke arah gejala seks bebas seterusnya dijangkiti penyakit kelamin.

Pensyarah di Jabatan Perubatan Keluarga Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Noor Azimah Muhammad berkata, kajian itu menunjukkan bahawa kebanyakan yang terlibat adalah remaja lelaki dan mereka terjebak ketika seawal di sekolah menengah serta kerap menggunakan internet di rumah secara bersendirian.

Jelasnya, perbuatan menonton pornografi itu menyebabkan sebahagian daripada remaja tersebut mengalami ketagihan yang boleh menyebabkan mereka berisiko melakukan seks bebas dan mengalami jangkitan penyakit kelamin seperti Human Immunodeficiency Virus (HIV) dan sifilis.

“Terdapat kes seorang pelajar lelaki mengakui menonton lebih 200 video pornografi sehari semata-mata untuk memuaskan keinginan seksualnya.

“Seterusnya pelajar ini terdedah kepada masturbasi dan akhirnya mengamalkan aktiviti seks bebas semasa menuntut di kolej,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, penglibatan remaja Malaysia dalam seks bebas adalah amat membimbangkan.

“Dalam satu kajian lain yang dijalankan pada 2013 terhadap 988 pelajar kolej, data menunjukkan 10 peratus pelajar kolej pernah melakukan aktiviti seksual manakala lima peratus pula sangat aktif melakukannya.

“Umumnya, aktiviti seksual yang dilakukan oleh remaja adalah berisiko tinggi, di mana mereka cenderung untuk bertukar-tukar pasangan, mengamalkan homoseksual iaitu seks sesama jantina atau biseksual iaitu seks sesama sendiri atau berlainan jantina, tidak menggunakan kondom atau pencegah kehamilan dan di bawah pengaruh alkohol atau dadah,” katanya.

Difahamkan, dapatan hampir sama dapat dilihat berdasarkan hasil Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan 2017 iaitu 7.3 peratus remaja berumur 13 hingga 17 tahun pernah melakukan seks seawal usia kurang dari 14 tahun dan lima peratus aktif melakukan seks.

Hampir kesemua remaja ini mengamalkan seks tidak selamat, tanpa kondom atau pencegah kehamilan dan 40 peratus dari kes HIV baharu adalah melibatkan remaja. 

Mengulas lanjut, Dr. Noor Azimah berkata, ketagihan seksual bermula sebaik aktiviti seksual dilakukan.

“Setelah berasa seronok melakukan aktiviti seksual, mereka ingin melakukannya sekali lagi. Keinginan ini akan berterusan dan berulang-ulang,” katanya.

Menurutnya lagi, di zaman dunia tanpa sempadan, penggunaan internet dan media sosial memudahkan lagi remaja untuk mendapatkan video atau gambar pornografi tanpa dapat dikesan oleh ibu bapa. 

“Perbuatan ini disokong dengan adanya kemudahan wifi samada di rumah sendiri atau sesetengah premis dimana remaja tidak perlu mengeluarkan duit sendiri. 

“Hubungan antara media sosial, pornografi dan aktiviti seksual adalah bersifat linear. Jiwa remaja yang sentiasa ingin mencuba menyebabkan mereka memilih untuk melakukan amalan terlarang tersebut,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya