PETALING JAYA: Enam anggota polis yang bertugas di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Perak ditahan ketika berkaraoke di sebuah premis di Bercham, Ipoh dekat sini pada Sabtu lalu.
Penahanan semua anggota berkenaan dilakukan pukul 11.30 malam. Turut bersama kumpulan enam anggota polis itu seorang wanita Indonesia.
Utusan Malaysia difahamkan, pemeriksaan mendapati seorang daripada anggota terbabit positif alkohol manakala polis menemukan sepeket serbuk putih disyaki dadah ketamine.
Difahamkan saringan awal air kencing terhadap kesemua anggota polis itu mendapati seorang anggota berkenaan positif ganja.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad ketika dihubungi mengesahkan penahanan anggota berkenaan.
“Operasi dijalankan bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) bagi mengesan pelanggaran dan salah laku yang dilakukan warga PDRM.
“Siasatan lanjut akan dijalankan JIPS Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan siasatan dari sudut tatatertib juga akan dijalankan,” jelasnya.
Menurut beliau, terdapat keadaan yang membenarkan anggota berada di dalam premis berkenaan berdasarkan arahan dalaman.
“Bagaimanapun, siasatan akan dilaksanakan berikutan ada anggota berkenaan terkesan dalam ujian saringan air kencing,” katanya.- UTUSAN