43 calon STPM di Negeri Sembilan peroleh PNGK 4.00 - Utusan Malaysia

43 calon STPM di Negeri Sembilan peroleh PNGK 4.00

AMINUDDIN Harun (tengah) bergambar bersama pelajar-pelajar cemerlang STPM 2022 selepas pengumuman keputusan STPM Tahun 2022 Peringkat Negeri Sembilan di Kolej Tingkatan 6, Forest Height di Seremban, hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 1,424 orang daripada keseluruhan 1,441 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 di Negeri Sembilan telah lulus penuh dengan mendapat sekurang-kurangnya satu mata pelajaran peringkat prinsipal iaitu 98.82 peratus berbanding 98.84 peratus pada tahun 2021. 

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Dr. Roslan Hussin berkata, daripada jumlah tersebut seramai 63 calon lulus lima prinsipal, 1,040 calon lulus empat prinsipal, 214 lulus tiga prinsipal, 70 lulus dua prinsipal dan 37 orang calon lulus satu prinsipal.

Selain itu katanya, seramai 17 orang calon pula telah memperoleh keputusan lulus sebahagian.

Tambah beliau, sehubungan itu, Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) bagi negeri adalah 2.82 berbanding tahun 2021 iaitu 2.85 yang merupakan penurunan sebanyak 0.03 peratus. Bagaimanapun ia menyamai PNGK Kebangsaan pada tahun ini iaitu 2.82.

“Seramai 43 orang calon STPM di Negeri Sembilan telah memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 berbanding 38 orang pada tahun 2021. Mereka terdiri daripada 29 orang calon (Sains Sosial), lapan (Sains) dan enam calon (Agama),” katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan STPM Tahun 2022 Peringkat Negeri Sembilan di Kolej Tingkatan 6, Forest Heights di sini hari ini. 

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun. 

Jelas Roslan, berdasarkan carta, daerah Rembau masih lagi mengungguli pencapaian PNGK daerah iaitu 3.01 berbanding 3.15 pada tahun 2021 iaitu penurunan sebanyak 0.14 peratus.

“Bagaimanapun, daerah Jempol dan Jelebu telah menunjukkan peningkatan di mana pada tahun 2021, PNGK daerah adalah 2.77 dan pada tahun 2022 meningkat kepada 2.82 iaitu peningkatan sebanyak 0.05 peratus.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN