JOHOR BAHRU: Sebanyak 219 kes melibatkan kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dilaporkan berlaku di negeri ini sejak 1 Januari hingga semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, daripada jumlah tersebut, 103 kes didakwa di mahkamah manakala selebihnya masih dalam siasatan.
“Kesalahan terlibat termasuklah rogol sebanyak 59 kes; sumbang mahram (20 kes); liwat (enam kes); penderaan (58 kes); buang bayi (tujuh kes); dan kesalahan seksual kanak-kanak sebanyak 69 kes.
“Antara kes yang dilaporkan itu termasuk perlakuan sumbang mahram antara bapa terhadap anaknya serta jenayah rogol antara kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dengan kanak-kanak perempuan berusia 8 atau 9 tahun.
“Kita akui jumlah itu agak tinggi dan perkara itu memang membimbangkan, jadi, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pesalah yang melakukan jenayah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Kamaruzaman Elias.
Sehubungan itu, Kamarul Zaman mengingatkan masyarakat khususnya golongan ibu bapa untuk bersikap lebih prihatin dengan penggunaan media sosial oleh anak-anak mereka.
“Majoriti daripada kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak berpunca daripada penyalahgunaan media sosial. Jadi, pemantauan daripada penjaga amat dituntut dalam menangani permasalahan ini.
“Selain itu, masyarakat juga perlu memainkan peranan mereka dalam sama-sama melindungi golongan kanak-kanak yang masih dibawah umur dan tidak dapat mempertahankan diri sendiri.
Dalam pada itu, Kamarul Zaman turut memaklumkan seramai 43 kanak-kanak dilaporkan hilang di seluruh negeri, dengan seramai 40 daripada mereka ditemukan semula.
“Manakala tiga lagi kanak-kanak yang dilaporkan hilang di daerah Johor Bahru, di sini masih belum ditemukan,” jelasnya lanjut.-UTUSAN