21 nelayan Vietnam ceroboh perairan negara ditahan

21 nelayan Vietnam ceroboh perairan negara ditahan

SYED Nor Adli Syed Ab. Rahman (kiri) melakukan pemeriksaan nelayan asing Vietnam di Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan hari ini. UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan seramai 21 nelayan asing Vietnam termasuk tekong dan merampas sebuah bot selepas menceroboh perairan negara di lokasi 296.32 kilometer (km) dari Kuala Tok Bali di sini Rabu lalu.

Bot yang membawa peralatan menangkap ikan, navigasi dan 5,200 liter minyak diesel serta ikan baja seberat 1,000 kilogram (kg) itu tahan pada pukul 10.26 pagi.

Pengarahnya Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, semasa melakukan rondaan rutin Kapal Maritim (KM) Amanah telah mengesan sebuah bot nelayan dalam keadaan mencurigakan pada jarak 5.5 kilometer.

Menurutnya, sejurus menyedari kehadiran anggota Maritim Kelantan bot tersebut bertindak memecut laju menghala ke sempadan Vietnam.

“Hasil ketangkasan anggota Maritim Malaysia Kelantan, bot tersebut berjaya ditahan 35 minit kemudian. Pemeriksaan yang dilakukan, kita telah menahan seramai 21 kru termasuk tekong masing-masing berumur 17 hingga 55 tahun.

“Pemeriksaan lanjut, bot yang mengibarkan bendera Vietnam itu tidak memiliki sebarang kebenaran untuk menangkap ikan di perairan negara ini,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali, di sini hari ini.

Syed Nor Adli memberitahu, anggaran keseluruhan rampasan termasuk peralatan dan bot dianggarkan berjumlah RM1.53 juta.

Katanya, kesemua nelayan asing itu juga disiasat di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa permit yang sah dan Seksyen 16(3) akta yang sama kerana gagal memaklumkan pihak berkuasa menerusi radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel ketika masuk ke perairan Malaysia,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya