200 peneroka Felda Perasu bimbang kehadiran harimau belang

200 peneroka Felda Perasu bimbang kehadiran harimau belang

MD. HUSSAIN Senik menunjukkan tempat lembu ternakannya ditanam selepas menjadi mangsa serangan harimau belang di dalam ladang kelapa sawit di Felda Perasu, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 200 keluarga peneroka di Rancangan Tanah Felda Perasu di sini, bimbang dengan keselamatan apabila mendakwa harimau belang berkeliaran di kawasan ladang kelapa sawit dan mengganggu ternakan mereka.

Seorang peneroka, Md. Hussain Senik, 66, berkata, sejak dua bulan lalu dia kerugian lebih RM20,000 apabila lembunya menjadi mangsa serangan harimau belang.

Menurutnya, sejak dua bulan lalu 10 ekor lembu miliknya menjadi mangsa serangan harimau di kawasan ladang.

“Kejadian terbaru berlaku hampir dua minggu lalu apabila anak saya sendiri pernah menyaksikan harimau menerkam lembu ketika waktu malam. Keesokan pagi, apabila dia ke tempat kejadian lembu itu sudah mati dan terdapat kesan tapak kaki harimau terbabit.

“Kami selaku penduduk di sini sangat bimbang kerana pekerjaan dan sumber pendapatan kami adalah dengan menternak lembu atau kambing,” katanya.

Md. Hussain memberitahu, dia menternak lebih 40 ekor lembu yang dilepas bebas di dalam kawasan ladang sawit miliknya.

Katanya, kejadian serangan harimau belang ini berlaku pada waktu malam sebelum disedari penduduk pada keesokan pagi ketika masuk ke ladang.

Sementara itu, Ibrahim Nor, 75, pula berharap pihak berwajib segera bertindak menangani masalah haiwan liar yang mengganggu ternakan penduduk kampung.

Katanya, penduduk terpaksa menanggung kerugian besar apabila harga seekor lembu dewasa sudah mencecah RM4,000.

“Peneroka sebelum ini pernah melaporkan kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut, namun haiwan itu belum masuk perangkap.

“Kemunculan harimau belang ini mungkin kerana kawasan ladang kelapa sawit ini berada berhampiran Gunung Rabong yang dipercayai menjadi habitat asalnya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN