20 penguat kuasa MBJB ada 'mata tambahan' - Utusan Malaysia

20 penguat kuasa MBJB ada ‘mata tambahan’

MOHD. JAFNI MD. SHUKOR (tengah) melakukan gimik pelancaran Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Kawasan Khas Sungai Tebrau (MBJB) 2035 di Hotel Holiday Villa, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Negeri ini terus memperkasakan mutu perkhidmatan dan tahap penguatkuasaan para pegawai dan kakitangannya semasa melaksanakan tugasan.

Seiring dengan harapan yang semakin tinggi daripada orang ramai, seramai 20 pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan dilengkapi dengan kamera badan atau ‘body cam’ semasa menjalankan tugas bermula Oktober ini.

Malah  MBJB merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama yang menggunakan pendekatan tersebut di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, pendekatan baharu itu bertujuan meningkatkan imej dan ketelusan PBT berkenaan.

“Bermula Ogos ini, MBJB akan melaksanakan projek perintis penggunaan ‘body cam’ bagi pegawai-pegawai penguat kuasa ketika menjalankan operasi penguatkuasaan.

“Sebagai permulaan, sebanyak 20 ‘body cam’ diperuntukkan kepada MBJB sebelum inisiatif itu diperluaskan ke lebih banyak PBT di seluruh Johor. Pelancarannya dibuat bersama dengan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) pintar,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Kawasan Khas Sungai Tebrau 2035 di Hotel Holiday Villa, di sini hari ini yang turut dihadiri Setiausaha MBJB, Miswan Yunus.

Mohd. Jafni berkata, pembelian 20 unit kamera badan yang menelan kos RM15,000 itu akan turut membantu PBT membuktikan kesalahan orang ramai yang membuang sampah di merata-rata tempat, termasuk ke dalam sungai.

“Sebab sebelum ini, pesalah tidak mengaku apabila dituduh membuat pembuangan sampah, namun selepas ini mereka tidak boleh lagi menafikan kesalahan yang dilakukan,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan kesemua 16 PBT di negeri ini akan  mengeluarkan kompaun serta-merta kepada pesalah yang membuang sampah di kawasan awam.

“Bagi kesalahan individu, mereka boleh dikenakan kompaun antara RM50 hingga RM250, manakala bagi syarikat sebanyak RM2,000. Pemberian kompaun dibuat secara ‘on the spot’ demi memperkasakan kebersihan awam, termasuk di sungai-sungai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya