ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 16 kes pencemaran melibatkan tumpahan minyak dan bahan kimia berbahaya dikesan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sejak Januari tahun ini.
Ketua Pengarahnya, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, kesemua kejadian pencemaran itu berjaya dikawal dengan kerjasama pelbagai agensi, sekali gus mengelakkan insiden lebih besar berlaku.
“Untuk kes pencemaran minyak atau bahan kimia berbahaya, sebanyak 16 kes telah direkodkan berlaku di akhiri negara dan semuanya telah berjaya dibendung mengikut prosedur ditetapkan.
“Majoriti kes tumpahan ini berlaku ketika kenderaan membawa muatan berkenaan terlibat dalam masalah semasa dalam perjalanan, sama ada berlaku kemalangan atau lain-lain, ini bukan orang buang.
“Sehubungan itu, JAS turut bekerjasama dengan syarikat terlibat untuk memastikan mereka mempunyai kelengkapan dan kemahiran untuk mengawal tumpahan yang berlaku agar tidak masuk ke alam sekitar seperti sungai atau sebagainya, sebelum ketibaan pihak berkuasa,” katanya selepas menyaksikan Latihan Menangani Tumpahan Bahan Kimia di Lebuhraya LinKedua antara JAS Malaysia dan Agensi Alam Sekitar Singapura, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah JAS Johor, Dr. Mohd. Famey Yusoff; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Siti Rohani Nadir dan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin.
Dalam pada itu, Wan Abdul Latiff memberitahu, latihan antara kedua-dua negara itu penting memandangkan kira-kira 150,000 tan bahan kimia berbahaya diangkut berulang-alik antara Malaysia dan Singapura melalui LinKedua.
“Walaupun tidak pernah berlaku kejadian tumpahan bahan kimia di sempadan ini, namun adalah penting untuk kita mengkoordinasikan gerak kerja antara pelbagai agensi kedua-dua negara,” katanya.
Sementara itu, Siti Rohani memberitahu, latihan sedemikian berupaya meningkatkan lagi kecekapan pihaknya dalam menangani kejadian tumpahan minyak dan bahan kimia sekiranya berlaku.
“Seramai kira-kira 50 pegawai dan anggota bomba Johor terlibat dalam latihan ini, termasuk Unit Hazmat,” katanya. – UTUSAN