TEMERLOH : Kementerian Kerja Raya (KKR) mengenal pasti 10 lokasi kerap berlaku musibah banjir di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) sejak ia dibuka bermula 2004.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, lokasi terbabit di kilometer (KM) 84.7, KM 112, KM 113, KM 114, KM 115, KM 116, KM 117, KM 124, KM 126 dan KM 198.
Katanya, terdapat empat lagi lokasi dikenal pasti berisiko dinaiki air iaitu di KM 156, KM 178, KM242 dan di Ramp A, Persimpangan Jabor.
“Sebanyak empat kejadian banjir berlaku di sepanjang LPT1 sejak ia dibuka iaitu pada 2007, 2014 dan dua kejadian kali pada 2021.
“Banjir 2021 pada bulan Januari dan Disember yang menyebabkan lebuhraya ini ditutup kepada semua jenis kenderaan untuk beberapa hari,” katanya kepada pemberita selepas meninjau dua projek tebatan banjir bernilai RM200 juta di KM 117 dan KM 124 di Temerloh di sini hari ini.
Beliau turut mendengar taklimat dan melihat sendiri perkembangan projek ini yang sedang dilaksanakan dan optimis dua pakej projek dapat disiapkan mengikut jadual.
Mengulas lanjut, Nanta Linggi berkata, kedua-dua pakej projek itu dijangka siap pada Oktober 2024 sebelum musim tengkujuh yang lumrahnya melanda Pantai Timur.
Menurutnya, bagi menangani masalah banjir daripada berulang, kerajaan sudah mengarahkan kerja-kerja tebatan banjir segera dilaksanakan di 14 lokasi sepanjang jajaran lebuhraya ini. – UTUSAN