Warung dalam kebun getah tarik ramai pelanggan

Warung dalam kebun getah tarik ramai pelanggan

WARUNG sarapan pagi di dalam kawasan kebun getah menjadi lokasi penoreh getah bersarapan sambil melepaskan penat bekerja di di Kampung Bukit Ulu Pauh, Arau, Perlis semalam.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kewujudan sebuah warung di kebun getah di Kampung Bukit Ulu Pauh di sini menarik perhatian minat ramai untuk menikmati sarapan dengan nyaman dan tenang.

Lebih menarik, warung yang dibuka 14 tahun itu menjadi tumpuan pelanggan dalam kalangan penoreh getah, pekebun dan pesawah. Kedai tersebut bukan sahaja untuk tempat makan tetapi melepaskan penat selepas bekerja seawal pagi.

Warung Cik Liza Roti Canai yang terletak 400 meter dari jalan utama Lebuh Raya Kuala Perlis-Changlun itu menyediakan hidangan seperti roti canai dan nasi lemak berlauk.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik warung itu, Siti Haliza Abdul Manap,53, berkata, dia memilih berniaga di dalam kawasan kebun getah kerana suasananya lebih tenang tanpa gangguan bunyi bising kenderaan.

Katanya, dia memulakan operasi seawal pukul 6.30 pagi kerana kebanyakkan penoreh getah dan petani keluar awal pagi untuk bekerja.

Selain penoreh dan petani, ramai juga pelanggan membabitkan kakitangan awam dan pelajar di sekitar kawasan berkenaan singgah di warungnya.

“Kebanyakkan pelanggan luar yang datang ke sini mengetahui kewujudan warung tersebut daripada penduduk sekitar.

“Sambutan di warung kami agak memberansangkan dan pendapatan yang diperoleh mampu menampung kehidupan saya bersama dua orang anak,” katanya.

Kata Siti Haliza, dia tidak menjangkakan kedainya mendapat sambutan walaupun agak jauh daripada laluan utama.

Dalam pada itu, seorang pelanggan, Syed Asraf Ismail,35, berkata, dia selalu meluangkan masa sarapan di warung berkenaan kerana suasana di kebun getah sangat tenang.

“Meskipun kelihatan biasa, namun kewujudan warung di dalam kebun getah itu unik sekali gus ramai yang mahu mencuba,” kakitangan swasta itu. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN