KUANTAN: Seorang warga asing di daerah ini memiliki perniagaan menjual karpet sejak lebih 30 tahun lalu dan merancang menambah cawangan biarpun berdepan kemerosotan pelanggan ketika ini.
Warga asing terbabit yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad, 65, berkata, dia memulakan perniagaan menjual karpet dari Pulau Pinang sebelum berpindah ke negeri ini.
Tambahnya, perniagaan terbabit sehingga kini masih mendapat ramai pelanggan namun sedikit berkurangan kebelakangan ini ekoran saingan peniaga dalam talian.
Namun begitu, katanya, dia tidak merancang menjual barangannya secara dalam talian kerana percaya masih ada pelanggan yang akan ke kedai untuk merasai sendiri kualiti barangan sebelum membeli.
Sebaliknya dia memaklumkan merancang membuka cawangan di daerah lain di negeri ini kerana terdapat saudara maranya di situ.
“Saya ada ramai saudara mara di sini dan mereka juga ada kedai. Kami sudah lama berniaga di sini.
“Walaupun keadaan sekarang tidak lagi seperti dahulu kerana sudah ada saingan dari peniaga secara dalam talian, tapi kami masih boleh bertahan,” katanya di sini semalam.
Ditanya bagaimana dia memperoleh lesen memulakan perniagaannya, Ahmad enggan mengulas.
Utusan Malaysia difahamkan rata-rata peniaga warga asing ini memohon lesen perniagaan melalui pasangan masing-masing yang merupakan warga tempatan mahupun melalui rakan kongsi warga tempatan.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan bahawa, hampir semua sektor ekonomi berasaskan rangkaian bekalan dan pengeluaran makanan negara ‘dikawal’ warga asing apabila kebanyakan majikan terpaksa bergantung sehingga 80 peratus kepada tenaga kerja orang luar.
Perkara itu berterusan dan warga asing kini bukan hanya bekerja sebagai buruh tetapi semakin ramai berjaya mengusahakan kebun sayur sendiri dan mula menguasai sektor runcit untuk membekalkan barangan keperluan kepada penduduk sekitar.
Contoh, sektor sawit, Malaysia yang membekalkan 39 peratus daripada seluruh bekalan minyak sawit dunia, memerlukan 80 peratus atau 400,000 warga asing daripada 500,000 tenaga kerja bagi industri itu.
Menurut laporan Organisasi Antarabangsa bagi Migran (IOM) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berjudul The Cost of Hope: Stories of Migrant Workers in Palm Oil Plantations in Malaysia, sektor sawit yang menggunakan lebih 70 peratus daripada semua tanah pertanian seluruh negara iaitu sebanyak 2.3 juta hektar kini diusahakan 80 peratus warga asing.-UTUSAN