UMNO tidak rugi terima kembali ahli dipecat, digantung - Utusan Malaysia

UMNO tidak rugi terima kembali ahli dipecat, digantung

Noor Azleen Ambros
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: UMNO tidak rugi sekiranya menerima kembali pemimpin dan ahlinya  yang digantung dan dipecat sebelum ini.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, langkah itu secara tidak langsung turut menunjukkan sikap keterbukaan Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru, katanya, UMNO dan kerajaan bakal menerima manfaat sekiranya individu terbabit kembali diterima dalam parti.

“Saya berpandangan bahawa UMNO tidak akan mengalami sebarang kerugian jika bersetuju membuka semula pintu dan ruang kepada pemimpin dan juga ahli yang dikenakan tindakan disiplin.

“Dalam keadaan UMNO hari ini, segala usaha perlu digembleng bagi membina semula kekuatan parti, termasuk menggunakan pengaruh dan nama besar yang ada pada sebahagian pemimpin dan ahli yang berdepan dengan tindakan disiplin,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Pendapat sama turut dikongsi Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Abd. Ghani Abd. Rashid yang mengakui langkah itu amat dialu-alukan.

“Kesediaan Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk menggugurkan hukuman gantung dan menerima kembali ahli yang dipecat adalah dialu-alukan. Tindakan itu selari dengan kenyataan Presiden yang mahu mencari titik persamaan dalam kalangan pemimpin-pemimpin UMNO.

“Ini penting kerana fokus utama UMNO adalah untuk memperkukuhkan parti menerusi kesatuan dalam keluarga UMNO. Sehubungan itu, UMNO Sembrong berharap tindakan penyatuan ini dapat direalisasikan secepat mungkin,” katanya.

Kelmarin, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menyatakan Lembagai Disiplin UMNO akan meneliti rayuan ahli yang digantung  sebelum keputusan akhir diputuskan MKT.

Januari lalu, beberapa pemimpin UMNO dikenakan tindakan gantung termasuk Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd. Salim Sharif dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya